TEKS UCAPAN ENCIK SAJALI @ ISMAIL BIN OJEK
PENGERUSI KOPERKASA
“MEMPERKASA KOPERKASA”
Bismillah Hirrahmanirrahim, Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Dan Salam 1 Koperkasa.
Yang  Saya  Mulia  Wakil SKM, ALK, Audit Dalaman, Audit Luar Dan Pengurusan Koperkasa Dan Perwakilan yang saya hormati.
Alhamdullilah bersyukur kita kepada Allah SWT atas kurnianya kita dapat bersama menjalan tanggungjawab sebagai Perwakilan pada tahun ini. Atas amanah yang telah di beri oleh Anggota semasa Mesyuarat Agung Kawasan. Kita mengharapkan supaya tuan/puan memainkan peranan dalam memastikan hala tuju bagi memperkasa Koperkasa.
Alhamdullilah sepanjang tahun 2011 kita telah menambahbaik dari tadbir urus yang berkesan, menambah kemudahan pembiayaan yang lebih efektif, memperkasa produk Ar-Rahnu dan menawar pelbagai produk barangan pengguna melalui Koperkasa Shoppee.
Dengan segala komitmen yang telah diberi dari semua  yang terlibat secara langsung atau tidak langsung, kita mencapai satu anjakan dari segi tadbir urus yang berkesan dimana kita telah di anugerah oleh SKM Bahagian PRISKOP 3 bintang.  Alhamdulillah mereka telah berpuas hati dengan perjalanan Koperkasa semenjak kita mengambil alih daripada Assets Management, Konsultan yang dilantik oleh SKM.
Dari itu, Koperkasa harus mewujudkan pelan yang jelas untuk menjadi Koperasi yang maju dan kompetatif.
Kita akan terus beranjak dari tokok yang lama pada satu transformasi yang berpendapatan tinggi.
Untuk menjayakan kehasilan yang tinggi setiap anggota terutama Perwakilan harus mengambil bahagian bagi meningkat ekonomi Koperasi khususnya KOPERKASA.
Justeru itu pelbagai pendekatan akan kita teruskan demi memperkasakan Koperasi kita dalam meningkat khidmat pelanggan, kebajikan anggota, meningkat perniagaan Koperasi, pendidikan latihan dan maklumat kerjasama antara Koperasi.
Ingin saya nyatakan disini setelah kita melakukan transformasi terhadap KOPERKASA kita telah mencapai kejayaan yang cemerlang dimana pendapatan diperolehi pada tahun 2011 adalah sebanyak  RM16,040,768 (Peningkatan 33.31%) jika dibandingkan dengan tahun 2010 yang hanya memperolehi pendapatan sebanyak   RM12,032,507 .  Manakalaka keuntungan yang kita janakan bagi tahun 2011 adalah   RM8,885,250  (34.38%).
Tuan/Puan yang saya hormati, dalam memperkasa Koperasi, kita akan mempeluaskan shoppee kita di semua enam Cawangan bagi memberi kemudahan pinjaman barangan pengguna.
Alhamdullilah bersyukur kita kepada Allah SWT kerana hari apa yang kita janji dalam Mesyuarat Kawasan menjadi kenyataan dimana kita akan menandatangani MOU untuk Pakej Umrah.
Satu kerjasama pintar akan kita cadangkan bagi membangun rumah kedai di Limbang bagi menampung keperluan pejabat Cawangan Limbang dan pertambahan anggota.
Bagi meningkat keanggotaan Koperasi, kita harus memberi keyakinan kepada kakitangan Kerajaan dan Syarikat milik Kerajaan bagi mereka berkeyakinan untuk menyertai Koperasi kita.
Perkasa AR-Rahnu satu lagi bidang keberhasilan yang amat memerangsangkan dimana kita telah Berjaya dengan simpanan emas melebihi RM 2 juta. Justeru itu kita akan mencadangkan supaya ia akan di buka ke Cawangan lain bagi memberi khdimat kepada anggota kita seluruh Sarawak. Walaubagaimanapun segala tadbir urus untuk menjadi aktiviti ini akan kita pertingkat demi ketelusan dan juga peraturan yang dikehendaki.
Hala tuju baru KOPERKASA akan mewujudkan pelan yang jelas untuk mentrasformasikannya lebih jauh supaya kita boleh berlandaskan kejayaan besar yang kita capai.
Sebelum mengakhiri ucapan, ingin saya umumkan sekali lagi bahawa ALK mencadangkan pemberian dividen pada syer, bonus pada simpanan peribadi dan yuran bulanan sebanyak 16%.
Akhir kata saya ingin merakam setinggi penghargaan dan terima kasih kepada yang telah menjayakan Mesyuarat Agung Perwakilan kita pada tahun ini. Saya juga menjulang setinggi penghargaan dan terima kasih kepada CEO SKM Datuk Yusuf dan kakitangan serta Pengarah SKM Sarawak dan kakitangan yang selama ini telah banyak membantu dalam membimbing kita dari masa ke semasa, tidak lupa pada semua ALK, Perwakilan, Pengurusan dan kakitangan KOPERKASA serta seluruh kerabat anggota KOPERKASA kerana berjaya mempertabatkan KOPERKASA seperti hari ini.
KESETIAAN ANGGOTA KETEGUHAN KOPERKASA
1 KOPERKASA
Wabillahitaufik Walhidayah
TEKS UCAPAN PENGERUSI
SEMPENA MESYUARAT AGUNG PERWAKILAN TAHUNAN KE-78
KOPERASI POLIS DIRAJA MALAYSIA BERHAD
PADA RABU, 26HB JUN 2013, 8.00 PAGI DI KLI HOTEL
Bismillahirrahmanirahim
Segala puji-pujian bagi Allah, Tuhan pentadbir sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam, para sahabat dan kaum keluarga Baginda.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
Salam Sejahtera dan Salam Satu Malaysia
Yang Berusaha Pengacara Majlis
Yang Dihormati Dato’ Pahlawan Zulkifli bin Abdullah
Pengarah Jabatan Logistik, Polis Diraja Malaysia
Selaku wakil kepada YDH Ketua Polis Negara
Merangkap Yang Dipertua
Koperasi Polis Diraja Malaysia Berhad
Yang Berusaha
Encik Mohd Rizam bin Zuligifliauni
Wakil kepada Tuan Haji Musa bin Nasri
Pengarah, Suruhanjaya Koperasi Malaysia
Cawangan Wilayah Persekutuan
Yang Berbahagia Dato’ Anuar Bashah Bin Haji Mohd Sohore
Setiausaha
Koperasi Polis Diraja Malaysia Berhad
Yang Dihormati Dato’ Tajudin bin Md Isa
Bendahari
Koperasi Polis Diraja Malaysia Berhad
Barisan Anggota Lembaga Koperasi Polis
Pengarah-Pengarah PDRM Serta Ketua-Ketua Polis,
Ketua-Ketua Polis Daerah,
Komandan-Komandan Pusat Latihan Polis
Dif-dif Kehormat
Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,
Marilah kita sama-sama mengucapkan rasa syukur ke hadrat Allah Yang Maha Esa kerana memberi kita peluang sekali lagi berhimpun di dalam Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Koperasi Polis Diraja Malaysia Berhad Kali Ke 78 ini.
Sebagai tuan rumah, saya mewakili semua Anggota Lembaga Koperasi, Ahli Jawatankuasa Kecil Daerah dan seluruh anggota Koperasi Polis Diraja Malaysia Berhad mengambil kesempatan ini merakamkan penghargaan dan ucapan jutaan terima kasih di atas kesudian Yang Dihormati Dato’ Zulkifli bin Abdullah, Pengarah Logistik sebagai mewakili Yang Dihormati Inspektor General Tan Sri Dato’ Sri Khalid bin Abu Bakar, Ketua Polis Negara merangkap Yang Dipertua Koperasi Polis; Dato Seri-Dato Seri, Dato-Dato, Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang telah sudi meluangkan masa hadir di Majlis Perasmian pada pagi ini.
Kesempatan ini juga diambil untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada Yang Dihormati Tan Sri Yang Dipertua KPD di atas pelantikan sebagai Ketua Polis Negara pada 17hb Mei 2013 yang lalu. Begitu juga sekalung tahniah kepada Yang Dihormati Datuk Seri Timbalan Yang Dipertua di atas pelantikan sebagai Timbalan Ketua Polis Negara pada 17hb Mei 2013 juga. Semoga gandingan Yang Dihormati Tan Sri Yang Dipertua dan Yang Dihormati Datuk Seri Timbalan Yang Dipertua akan memantapkan lagi pucuk pimpinan Koperasi untuk terus berdiri teguh dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada anggota dan dapat muncul sebagai sebuah koperasi yang disegani di negara kita.
Sesungguhnya kehadiran Yang Dihormati Tan Sri pada pagi ini sememangnya memberi satu harapan dan semangat baru kepada kita semua dalam menghadapi pelbagai persaingan serta mencari jalan terbaik menempuh masa depan koperasi yang semakin mencabar ini.
Yang Dihormati Dato’-Dato’, Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
Sempena Mesyuarat Agung Kali Ke-78 ini, marilah kita semua berkumpul dan bermesyuarat dalam suasana yang harmoni demi mencapai satu niat yang ikhlas, satu tujuan dan satu matlamat yang sama menuju koperasi yang maju dan gemilang. Luahkan segala permasalahan, idea-idea yang bernas dan teguran serta kritikan yang membina dalam suasana persaudaraan yang erat dan penuh muafakat agar mesyuarat kita ini diberkati dan dihormati.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekelian,
Sejak tiga tahun kebelakangan ini, Koperasi Polis berada di bawah pemerhatian dan bimbingan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM); dan Koperasi kini giat melaksanakan proses penyusunan dan pemulihan. Antara langkah utama yang diberi tumpuan adalah mengurangkan kos dengan mengambil langkah berjimat cermat dan perbelanjaan berhemah. Selain itu, penstrukturan semula aset telah dilaksanakan bagi menyediakan dana pinjaman lebih besar serta menggubal mekanisma pinjaman yang lebih menguntungkan selari dengan penawaran masa kini dengan memperkenalkan pembiayaan secara syariah.
Keuntungan dan Pinjaman
Bagi tahun 2012 memperlihatkan Koperasi Polis telah berjaya meningkatkan keuntungan sebelum pembahagian berkanun dan cukai berjumlah RM41.08 juta berbanding RM21.7 juta bagi tahun 2011. Satu pencapaian yang memberangsangkan dan membanggakan. Keuntungan ini sebahagian besarnya adalah melalui aktiviti pinjaman. Peningkatan ketara hasil aktiviti pinjaman ini disumbang melalui usaha-usaha penambahbaikan yang dilaksanakan oleh KPD bagi memperkasakan aktiviti teras ini.
Untuk makluman tuan-tuan dan puan-puan, bagi tahun 2012, Koperasi telah menyalurkan pinjaman berjumlah RM226 juta kepada seramai 8,962 anggota, berbanding RM147 juta kepada 7,490 anggota pada tahun 2011. Ini menunjukkan jumlah pembiayaan telah meningkat sebanyak 54%, dan dijangka akan bertambah pada tahun 2013 ini berikutan KPD telah menaikkan had maksimum pinjaman sehingga RM150,000 dengan kadar keuntungan pembiayaan yang lebih rendah iaitu 5.5% setahun. Dengan kenaikan gaji baru polis bagi tahun 2013 yang diumumkan Kerajaan baru-baru ini, jumlah permohonan pinjaman dijangka akan terus meningkat.
Pinjaman Kerajaan
Setakat Disember 2012, Koperasi telah berjaya menjelaskan hutang pinjaman Kerajaan sebanyak RM32.5 juta berbanding RM21 juta pada tahun 2011. Ini menjadikan hutang Koperasi dengan Kerajaan masih berbaki RM67.5 juta setakat Disember 2012. Dengan trend pendapatan Koperasi yang sentiasa meningkat sejak lima tahun kebelakangan ini sehingga mencapai RM43 juta bagi tahun 2012, Koperasi yakin mampu melunaskan pinjaman mengikut jadual yang dijangka selesai pada tahun 2017 atau lebih awal daripada itu.
Pada ketika ini, keutamaan Anggota Lembaga Koperasi adalah untuk menyelesaikan hutang lampau yang masih berbaki hingga ke hari ini berjumlah RM64.6 juta. Selagi permasalahan ini tidak diselesaikan sepenuhnya, maka isu ini akan membelenggu koperasi terutama dalam memberi pulangan dividen yang tinggi kepada ahli-ahli pada setiap tahun.
Fokus Koperasi
Sebelum saya menjelaskan dengan lebih lanjut tentang fokus serta unjuran perniagaan Koperasi di masa akan datang, saya bagi pihak Anggota Lembaga Koperasi ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada YDH Tan Sri Yang Dipertua, di mana sebaik sahaja dilantik sebagai Ketua Polis Negara dan Yang Dipertua KPD, YDH Tan Sri telah mengumumkan bahawa mulai 17hb Mei 2013 semua urusan jual beli tiket penerbangan untuk tugas-tugas rasmi melibatkan semua warga polis samada bagi urusan domestik serta luar negara akan diuruskan oleh Koperasi Polis Diraja Malaysia Berhad melalui anak syarikatnya iaitu Kop Travel & Tours Sdn Bhd. Langkah drastik ini merupakan satu suntikan serta satu lonjakan baru kepada Anggota Lembaga Koperasi ke arah memulihkan kedudukan koperasi dengan lebih cepat.
Untuk makluman YDH Tan Sri Yang Dipertua, pada tahun 2011 KOP Travel & Tours Sdn Bhd telah menerima Anugerah Perak dari pihak Malaysia Airlines System (MAS); manakala pada 14hb Jun 2013 yang baru lalu, KOP Travel & Tours Sdn Bhd telah sekali lagi menerima Anugerah Emas dari pihak MAS.
Berdasarkan kepada rekod pencapaian KOP Travel & Tours Sdn Bhd, di sini saya ingin mengemukakan permohonan dan hasrat kepada YDH Tan Sri Yang Dipertua untuk anak-anak syarikat Koperasi diberi peluang untuk melaksanakan kerja-kerja berikut:
1. KOP Transport Sdn Bhd.
a. Kerja-kerja senggeraan kenderaan dan Pembekalan Alat Ganti Kenderaan.
b. Pembungkusan dan Pemindahan Anggota PDRM ke seluruh Malaysia dan Luar Negara.
2. KOP Construction Services (Malaysia) Sdn Bhd.
a. Pembinaan IPK, IPD dan MES Pegawai secara usahasama dengan pihak luar (swasta).
b. Membangunkan tanah-tanah milik PDRM.
c. Penyelenggaraan & pencucian bangunan PDRM.
3. KOP Aviation Sdn Bhd.
Memaksimakan pemberian kerja-kerja pembaikan yang berkaitan dengan Avionik dan instrument berdasarkan kontrak yang sedia ada.
4. KLI Hotel Management Sdn Bhd.
PDRM mengadakan kursus/seminar di Hotel KL International Hotel dan City Park Hotel Melaka.
5. KOP Security Agency Sdn Bhd.
Mendapatkan kelulusan tambahan Senjatapi dari pihak PDRM.
6. KOP Educators & Consultants Sdn Bhd.
Mengadakan kursus-kursus jangka pendek.
Sekiranya ini menjadi kenyataan, Koperasi dijangka boleh menjana pendapatan secara tetap antara RM5 juta hingga RM10 juta setahun atau lebih.
Yang Dihormati Dato’-Dato’, Tuan-Puan sekelian,
Pada ketika yang sama, Koperasi sedang melalui proses transformasi dan proses pentstrukturan semula, terutama dalam pendekatan perniagaan serta ”business plan” yang lebih agresif dan berdaya saing. Antara isu-isu yang sudah dan sedang dilaksanakan adalah:
Isu Litigasi - Di masa-masa lalu didapati isu litigasi atau perundangan telah memberi kesan negatif kepada kedudukan Koperasi. Peguam-peguam yang dilantik nampaknya tidak benar-benar melindungi kepentingan Koperasi. Ini menyebabkan banyak transaksi perjanjian yang ditandatangani telah merugikan Koperasi. Bagi mengatasi masalah ini Koperasi telah menggugurkan firma-firma guaman yang menjadi panel KPD yang tidak melaksanakan tanggungjawab sepertimana yang diharapkan. Koperasi juga telah melantik panel baru yang lebih kompeten dan boleh melindungi kepentingan Koperasi.
Isu-isu bagi mendapatkan peluang-peluang perniagaan – Baru-baru ini pihak Koperasi telah mengadakan kunjung hormat dengan kepimpinan politik negara iaitu Yang Amat Berhormat Menteri Besar Terengganu, dan seterusnya Yang Amat Berhormat Menteri Besar Perak bagi mendapatkan tanah-tanah yang boleh dimajukan dan dibangunkan untuk tujuan komersil perladangan dan perdagangan. Perkara ini telah dan sedang diusahakan. Jika semua yang dirancang ini berjaya, ia dijangka akan mengukuhkan lagi kedudukan Koperasi.
KPD juga sedang mencari peluang-peluang baru dalam bidang Teknologi Maklumat (IT), perkhidmatan dan juga perniagaan runcit iaitu menjual basikal elektrik dan peralatan aksesori bagi keperluan PDRM yang melibatkan uniform pasukan PDRM seperti kain, kasut, cap dan lain-lain.
Kolaborasi Koperasi Polis dan Jabatan Logistik PDRM – Pada hemat saya, bagi menjayakan projek-projek dalaman atau ”in-house project of PDRM” oleh Koperasi, sokongan padu dari Jabatan Logistik amat diperlukan. Kolaborasi ini sekiranya dapat dilaksanakan dengan mantap, sudah tentu akan menyumbang kepada pemulihan Koperasi secara menyeluruh demi kebaikan ahli-ahli Koperasi. Dalam konteks ini, bantuan serta persefahaman antara Koperasi dan Jabatan Logistik amat diperlukan.
Anggota Lembaga juga dengan arahan dan kebenaran Yang Dipertua akan bertemu dan memberi taklimat kepada Yang Berhormat Menteri Dalam Negeri mengenai kedudukan dan prestasi KPD dalam masa terdekat serta akan menyatakan hasrat untuk mendapatkan peluang-peluang perniagaan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN). Sekiranya ada sokongan daripada Yang Berhormat Menteri, dijangka usaha pemulihan KPD akan dapat diuruskan dengan cepat dan mudah. Dengan itu Koperasi akan kembali ke landasan yang betul dan bakal muncul sebagai salah sebuah koperasi yang terulung di negara ini.
Untuk makluman tuan-tuan dan puan-puan juga, ketika ini Koperasi Polis telah membuka rundingan dengan syarikat-syarikat luar seperti Proton Commerce Sdn Bhd, Celcom Mobile Sdn Bhd dan telah pun menjalan usahasama perniagaan dengan syarikat rakan niaga seperti Sai Cherry Sdn Bhd, MEOG Holdings Sdn Bhd.
Tuan-tuan dan Puan-puan hadirin sekelian,
Modal Yuran dan Modal Saham
Menyentuh mengenai Modal Yuran, pada tahun 2012 telah meningkat sebanyak 1.5% kepada RM328 juta berbanding RM323 juta pada tahun 2011. Manakala modal saham berkurangan kepada RM13 juta pada tahun 2012 berbanding RM14.2 juta pada tahun 2011.
Aset Koperasi
Sementara itu, nilaian keseluruhan aset kumpulan koperasi telah meningkat sebanyak RM38,751,392 dari RM493,399,683 dalam tahun 2011 kepada RM532,151,075 pada tahun 2012.
Hadirin dan Hadirat yang dihormati,
Bantuan Pelajaran & Khairat Kematian
Keprihatinan Koperasi terhadap kebajikan pelajaran anak-anak anggota tidak pernah dilupakan malahan tetap diteruskan dan diperkemaskan dari masa ke semasa.
Sepanjang tahun 2012, Koperasi telah memperuntukkan Bantuan Pelajaran Rendah dan Bantuan Pelajaran Tinggi sebanyak RM237,090 kepada anak-anak anggota yang layak. Pertambahan sebanyak 4% dari tahun 2011 yang berjumlah RM227,140 membuktikan tahap pencapaian anak-anak anggota dalam pelajaran juga bertambah baik. Tahniah dan syabas kepada mereka yang telah berjaya mendapat kelulusan yang cemerlang.
Bagi bantuan Khairat Kematian, sejumlah 245 kes kematian anggota telah dilaporkan dan Koperasi telah membuat bayaran khairat sebanyak RM1,000 kepada setiap waris anggota. Jumlah bantuan yang dikeluarkan sepanjang tahun 2012 adalah sebanyak RM245,000.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan hadirin sekelian,
Insuran
Keahlian skim insuran kemalangan berkelompok telah menurun bilangannya sebanyak 8,039 unit dalam tahun 2012 menjadikan jumlahnya sebanyak 119,072 unit berbanding 127,111 dalam tahun 2011. Pampasan yang telah dibayar dalam tahun 2012 berjumlah RM4,088,622 kepada anggota sebagai kemudahan serta faedah kerana menyertai skim ini.
Manakala skim kop perubatan, secara purata keahliannya juga menurun seramai 1,613 orang menjadikan bilangan keahlian setakat 31 Disember 2012 berjumlah 11,158 orang. Sejumlah RM13,086,017 pampasan insuran perubatan telah dibayar kepada anggota dalam tahun 2012.
Selain Skim Takaful Kemalangan Berkelompok dan Skim Kop Perubatan yang diwujudkan bersama dengan Syarikat Takaful Malaysia Berhad, baru-baru ini Koperasi Polis telah menandatangai Perjanjian Persefahaman dengan dua syarikat takaful iaitu HSBC Amanah Takaful Berhad bagi Skim Pinjaman Perumahan Perbendaharaan; dan Agensi Takaful Ikhlas Sdn Bhd bagi Skim Ikhlas Saving Badal Hajj.
Yang Dihormati Dato’-Dato’, Tuan-Tuan Dan Puan-Puan,
Adalah lumrah bahawa setiap langkah yang dilaksanakan akan mempunyai kesan negatif di mana terdapat sekelompok anggota melihat Koperasi dengan pandangan yang skeptikal dan tidak begitu yakin dengan kemampuan koperasi. Kesannya sebilangan anggota mula menarik diri dan berhenti menjadi ahli koperasi polis. Oleh yang demikian, menjadi tanggungjawab kita semua untuk berusaha memujuk anggota-anggota yang ’merajuk’ ini kembali bersama koperasi dan memulihkan keyakinan mereka melalui hujah yang bernas, disokong dengan fakta yang betul dan telus.
Saya percaya cara memujuk dan meyakinkan anggota yang paling berkesan ialah dengan kita sama-sama berusaha lebih gigih meningkatkan pendapatan yang memberi pulangan yang lebih baik. Sekiranya koperasi dapat menjana pendapatan yang tinggi serta mampu memberikan dividen yang memuaskan, secara tidak langsung semua anggota akan kembali, kekal dan setia kepada Koperasi.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
Suka saya menarik perhatian semua bahawa selaras dengan perubahan di dalam dunia teknologi, sektor koperasi turut menerima tempiasnya. Bagi Koperasi mendekatkan diri dengan para anggota tidak lain adalah dengan mempraktikkan penggunaan teknologi maklumat atau urusan secara on-line dengan lebih meluas. Penggunaan teknologi maklumat secara talian menjadi asas utama pada masa ini untuk sesebuah organisasi lebih berdaya saing. Koperasi memahami kehendak anggota yang inginkan segala urusan menjadi lebih mudah, pantas dan boleh akses di mana sahaja serta lebih mesra pengguna dan Koperasi sedang berusaha ke arah itu.
Yang Dihormati Dato’-Dato’, Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
Saya bagi pihak Anggota Lembaga dan seluruh warga koperasi, mengambil peluang ini untuk merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam usaha membantu Koperasi Polis khususnya kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Kewangan, Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan semua pihak yang telah memberikan pertolongan serta kerjasama dalam memajukan Koperasi Polis Diraja Malaysia Berhad.
Ucapan terima kasih juga ditujukan kepada Yang Dihormati Tan Sri Dato’ Sri Khalid bin Abu Bakar, Ketua Polis Negara merangkap Yang Dipertua KPD dan juga kepada semua pucuk pimpanan PDRM di atas segala bentuk sokongan, kerjasama serta keprihatinan yang ditunjukkan kepada Koperasi.
Akhir sekali ucapan terima kasih saya tujukan kepada semua jemputan khas, para perwakilan, kakitangan Koperasi dan anak-anak syarikat yang telah dan sentiasa terus setia menabur khidmat demi masa depan Koperasi yang kita disayangi ini. Juga ucapan terima kasih daun keladi kepada semua rakan niaga yang sudi memberikan sumbangan bagi menjayakan persiapan Mesyuarat Agung kali ini.
Saya akhiri ucapan ini dengan lafaz wabillah hi taufik wal hidayah wassalamualaikum warahmatullah hi wabarakatuh.
Terima kasih.
17 Jun 2013
Unit Perhubungan Awam KPD
Tiada ulasan:
Catat Ulasan