Ahad, 7 Disember 2014

Resepi


Resepi Ayam Goreng Berlada

Ditulis oleh : 
Masa:
Penyediaan: 45 Minit | Memasak: 20 Minit |Keseluruhan: 65 minit
Jumlah Hidangan : 3

Bahan-Bahan:

  • Kepak ayam - dibersihkan, dicuci dan ditoskan.
Bahan untuk dikisar halus:
  • 15 tangkai lada kering - direndam air panas supaya lembut.
  • 1 sudu teh penuh lengkuas hiris.
  • 1 sudu teh penuh halia hiris
  • 1 batang serai - dihiris
  • beberapa camca air (jika guna pengisar) utk memekatkan bahan rempah.
Bahan-bahan lain berkaitan:
  • 1 sudu teh rata serbuk kunyit - dicampur dgn bahan kisar diatas.
  • Minyak utk menumis.
  • Garam secukup rasa.

Cara Penyediaan:

  1. Kelar kepak ayam supaya perencahnya dapat diserap. Lipatkan bahagian hujung kepak ayam ke bawah, seperti bentuk tiga segi (supaya kepak ayam tidak mengembang keluar semasa digoreng).
  2. Lumurkan kepak ayam dgn bahan-bahan kisar, dan perap selama 15-20minit.
  3. Panaskan minyak. Setelah minyak pejar, kecilkan apinya, biar sederhana. Goreng kepak ayam hingga garing. Angkat dan toskan diatas kertas dapur.

Selasa, 18 November 2014

Ucapan Pengerusi Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi

TEKS UCAPAN ENCIK SAJALI @ ISMAIL BIN OJEK
PENGERUSI KOPERKASA

“MEMPERKASA KOPERKASA”

Bismillah Hirrahmanirrahim, Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Dan Salam 1 Koperkasa.
Yang  Saya  Mulia  Wakil SKM, ALK, Audit Dalaman, Audit Luar Dan Pengurusan Koperkasa Dan Perwakilan yang saya hormati.

Alhamdullilah bersyukur kita kepada Allah SWT atas kurnianya kita dapat bersama menjalan tanggungjawab sebagai Perwakilan pada tahun ini.  Atas amanah yang telah di beri oleh Anggota semasa Mesyuarat Agung Kawasan.  Kita mengharapkan supaya tuan/puan memainkan peranan dalam memastikan hala tuju bagi memperkasa Koperkasa.

Alhamdullilah sepanjang tahun 2011 kita telah menambahbaik dari tadbir urus yang berkesan, menambah kemudahan pembiayaan yang lebih efektif, memperkasa produk Ar-Rahnu dan menawar pelbagai produk barangan pengguna melalui Koperkasa Shoppee.

Dengan segala komitmen yang telah diberi dari semua  yang terlibat secara langsung atau tidak langsung, kita mencapai satu anjakan dari segi tadbir urus yang berkesan dimana kita telah di anugerah oleh SKM Bahagian PRISKOP 3 bintang.   Alhamdulillah mereka telah berpuas hati dengan perjalanan Koperkasa semenjak kita mengambil alih daripada Assets Management, Konsultan yang dilantik oleh SKM.

Dari itu, Koperkasa harus mewujudkan pelan yang jelas untuk menjadi Koperasi yang maju dan kompetatif.

Kita akan terus beranjak dari tokok yang lama pada satu transformasi yang berpendapatan tinggi.

Untuk menjayakan kehasilan yang tinggi setiap anggota terutama Perwakilan harus mengambil bahagian bagi meningkat ekonomi Koperasi khususnya KOPERKASA.

Justeru itu pelbagai pendekatan akan kita teruskan demi memperkasakan Koperasi kita dalam meningkat khidmat pelanggan, kebajikan anggota, meningkat perniagaan Koperasi, pendidikan latihan dan maklumat kerjasama antara Koperasi.

Ingin saya nyatakan disini setelah kita melakukan transformasi terhadap KOPERKASA kita telah mencapai kejayaan yang cemerlang dimana pendapatan diperolehi  pada tahun 2011 adalah sebanyak  RM16,040,768 (Peningkatan 33.31%) jika dibandingkan dengan tahun  2010  yang hanya memperolehi pendapatan sebanyak   RM12,032,507 .   Manakalaka keuntungan yang kita janakan bagi tahun 2011 adalah   RM8,885,250  (34.38%).

Tuan/Puan yang saya hormati, dalam memperkasa Koperasi, kita akan mempeluaskan shoppee kita di semua enam Cawangan bagi memberi kemudahan pinjaman barangan pengguna.

Alhamdullilah bersyukur kita kepada Allah SWT kerana hari apa yang kita janji dalam Mesyuarat Kawasan menjadi kenyataan dimana  kita akan menandatangani MOU untuk Pakej Umrah.

Satu kerjasama pintar akan kita cadangkan bagi membangun rumah kedai di Limbang bagi menampung keperluan pejabat Cawangan Limbang dan pertambahan anggota.

Bagi meningkat keanggotaan Koperasi, kita harus memberi keyakinan kepada kakitangan Kerajaan dan Syarikat milik Kerajaan bagi mereka berkeyakinan untuk menyertai Koperasi kita.

Perkasa AR-Rahnu satu lagi bidang keberhasilan yang amat memerangsangkan dimana kita telah Berjaya dengan simpanan emas melebihi RM 2 juta.  Justeru itu kita akan mencadangkan supaya ia akan di buka ke Cawangan lain bagi memberi khdimat kepada anggota kita seluruh Sarawak.  Walaubagaimanapun segala tadbir urus untuk menjadi aktiviti ini akan kita pertingkat demi ketelusan dan juga peraturan yang dikehendaki.

Hala tuju baru KOPERKASA akan mewujudkan pelan yang jelas untuk mentrasformasikannya lebih jauh supaya kita boleh berlandaskan kejayaan besar yang kita capai.

Sebelum mengakhiri ucapan, ingin saya umumkan sekali lagi bahawa ALK mencadangkan pemberian dividen pada syer, bonus pada simpanan peribadi dan yuran bulanan sebanyak 16%.

Akhir kata saya ingin merakam setinggi penghargaan dan terima kasih kepada yang telah menjayakan Mesyuarat Agung Perwakilan kita pada tahun ini.  Saya juga menjulang setinggi penghargaan dan terima kasih kepada CEO SKM Datuk Yusuf dan kakitangan serta Pengarah SKM Sarawak dan kakitangan yang selama ini telah banyak membantu dalam membimbing kita dari masa ke semasa, tidak lupa pada semua ALK, Perwakilan, Pengurusan dan kakitangan KOPERKASA serta seluruh kerabat anggota KOPERKASA kerana berjaya mempertabatkan KOPERKASA seperti hari ini.

KESETIAAN ANGGOTA KETEGUHAN KOPERKASA
1 KOPERKASA

 

Wabillahitaufik Walhidayah





TEKS UCAPAN PENGERUSI
SEMPENA MESYUARAT AGUNG PERWAKILAN TAHUNAN KE-78
KOPERASI POLIS DIRAJA MALAYSIA BERHAD
PADA RABU, 26HB JUN 2013, 8.00 PAGI DI KLI HOTEL

   
 
Bismillahirrahmanirahim

Segala puji-pujian bagi Allah, Tuhan pentadbir sekalian alam,  selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam, para sahabat dan kaum keluarga Baginda.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Salam Sejahtera dan Salam Satu Malaysia

Yang Berusaha Pengacara Majlis

Yang Dihormati Dato’ Pahlawan Zulkifli bin Abdullah
Pengarah Jabatan Logistik, Polis Diraja Malaysia
Selaku wakil kepada YDH Ketua Polis Negara
Merangkap Yang Dipertua
Koperasi Polis Diraja Malaysia Berhad

Yang Berusaha
Encik Mohd Rizam bin Zuligifliauni
Wakil kepada Tuan Haji Musa bin Nasri
Pengarah, Suruhanjaya Koperasi Malaysia
Cawangan Wilayah Persekutuan

Yang Berbahagia Dato’ Anuar Bashah Bin Haji Mohd Sohore
Setiausaha
Koperasi Polis Diraja Malaysia Berhad

Yang Dihormati Dato’ Tajudin bin Md Isa
Bendahari
Koperasi Polis Diraja Malaysia Berhad

Barisan Anggota Lembaga Koperasi Polis

Pengarah-Pengarah PDRM Serta Ketua-Ketua Polis,

Ketua-Ketua Polis Daerah,
Komandan-Komandan Pusat Latihan Polis
Dif-dif Kehormat

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

Marilah kita sama-sama mengucapkan rasa syukur ke hadrat Allah Yang Maha Esa kerana memberi kita peluang sekali lagi berhimpun di dalam Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Koperasi Polis Diraja Malaysia Berhad Kali Ke 78 ini. 

Sebagai tuan rumah, saya mewakili semua Anggota Lembaga Koperasi, Ahli Jawatankuasa Kecil Daerah dan seluruh anggota Koperasi Polis Diraja Malaysia Berhad mengambil kesempatan ini merakamkan penghargaan dan ucapan jutaan terima kasih di atas kesudian Yang Dihormati Dato’ Zulkifli bin Abdullah, Pengarah Logistik sebagai mewakili Yang Dihormati Inspektor General Tan Sri Dato’ Sri Khalid bin Abu Bakar, Ketua Polis Negara merangkap Yang Dipertua Koperasi Polis; Dato Seri-Dato Seri, Dato-Dato, Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang telah sudi meluangkan masa hadir di Majlis Perasmian pada pagi ini.

Kesempatan ini juga diambil untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada Yang Dihormati Tan Sri Yang Dipertua KPD di atas pelantikan sebagai Ketua Polis Negara pada 17hb Mei 2013 yang lalu.  Begitu juga sekalung tahniah kepada Yang Dihormati Datuk Seri Timbalan Yang Dipertua di atas pelantikan sebagai Timbalan Ketua Polis Negara pada 17hb Mei 2013 juga.  Semoga gandingan Yang Dihormati Tan Sri Yang Dipertua dan Yang Dihormati Datuk Seri Timbalan Yang Dipertua akan memantapkan lagi pucuk pimpinan Koperasi untuk terus berdiri teguh dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada anggota dan dapat muncul sebagai sebuah koperasi yang disegani di negara kita.

Sesungguhnya kehadiran Yang Dihormati Tan Sri pada pagi ini sememangnya memberi satu harapan dan semangat baru kepada kita semua dalam menghadapi pelbagai persaingan serta mencari jalan terbaik menempuh masa depan koperasi yang semakin mencabar ini. 

Yang Dihormati Dato’-Dato’, Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

Sempena Mesyuarat Agung Kali Ke-78 ini,  marilah kita semua berkumpul dan bermesyuarat dalam suasana yang harmoni demi mencapai satu niat yang ikhlas, satu tujuan dan satu matlamat yang sama menuju koperasi yang  maju dan gemilang.   Luahkan segala permasalahan, idea-idea yang bernas dan teguran serta kritikan yang membina dalam suasana persaudaraan yang erat dan penuh muafakat agar mesyuarat kita ini diberkati dan dihormati.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekelian,

Sejak tiga tahun kebelakangan ini, Koperasi Polis berada di bawah pemerhatian dan bimbingan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM); dan Koperasi kini giat melaksanakan proses penyusunan dan pemulihan.  Antara langkah utama yang diberi tumpuan adalah mengurangkan kos dengan mengambil langkah berjimat cermat dan perbelanjaan berhemah.  Selain itu, penstrukturan semula aset telah dilaksanakan bagi menyediakan dana pinjaman lebih besar serta menggubal mekanisma pinjaman yang lebih menguntungkan selari dengan penawaran masa kini dengan memperkenalkan pembiayaan secara syariah.

Keuntungan dan Pinjaman

Bagi tahun 2012 memperlihatkan Koperasi Polis telah berjaya meningkatkan keuntungan sebelum pembahagian berkanun dan cukai berjumlah RM41.08 juta berbanding RM21.7 juta bagi tahun 2011.  Satu pencapaian yang memberangsangkan dan membanggakan. Keuntungan ini sebahagian besarnya adalah melalui aktiviti pinjaman.  Peningkatan ketara hasil aktiviti pinjaman ini disumbang melalui usaha-usaha penambahbaikan yang dilaksanakan oleh KPD bagi memperkasakan aktiviti teras ini.

Untuk makluman tuan-tuan dan puan-puan, bagi tahun 2012, Koperasi telah menyalurkan pinjaman berjumlah RM226 juta kepada seramai 8,962 anggota, berbanding RM147 juta kepada 7,490 anggota pada tahun 2011.  Ini menunjukkan jumlah pembiayaan telah meningkat  sebanyak 54%, dan dijangka akan bertambah pada tahun 2013 ini berikutan KPD telah menaikkan had maksimum pinjaman sehingga RM150,000 dengan kadar keuntungan pembiayaan yang lebih rendah iaitu 5.5% setahun.  Dengan kenaikan gaji baru polis bagi tahun 2013 yang diumumkan Kerajaan baru-baru ini, jumlah permohonan pinjaman dijangka akan terus meningkat. 

Pinjaman Kerajaan

Setakat Disember 2012, Koperasi telah berjaya menjelaskan hutang pinjaman Kerajaan sebanyak RM32.5 juta berbanding RM21 juta pada tahun 2011.  Ini menjadikan hutang Koperasi dengan Kerajaan masih berbaki RM67.5 juta setakat Disember 2012. Dengan trend pendapatan Koperasi yang sentiasa meningkat sejak lima tahun kebelakangan ini sehingga mencapai RM43 juta bagi tahun 2012, Koperasi yakin mampu melunaskan pinjaman mengikut jadual yang dijangka selesai pada tahun 2017 atau lebih awal daripada itu.

Pada ketika ini, keutamaan Anggota Lembaga Koperasi adalah untuk menyelesaikan hutang lampau yang masih berbaki hingga ke hari ini berjumlah RM64.6 juta. Selagi permasalahan ini tidak diselesaikan sepenuhnya, maka isu ini akan membelenggu koperasi terutama dalam memberi pulangan dividen yang tinggi kepada ahli-ahli pada setiap tahun.

Fokus Koperasi

Sebelum saya menjelaskan dengan lebih lanjut tentang fokus serta unjuran perniagaan Koperasi di masa akan datang, saya bagi pihak Anggota Lembaga Koperasi ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada YDH Tan Sri Yang Dipertua, di mana sebaik sahaja dilantik sebagai Ketua Polis Negara dan Yang Dipertua KPD, YDH Tan Sri telah mengumumkan bahawa mulai 17hb Mei 2013 semua urusan jual beli tiket penerbangan untuk tugas-tugas rasmi melibatkan semua warga polis samada bagi urusan domestik serta luar negara akan diuruskan oleh Koperasi Polis Diraja Malaysia Berhad melalui anak syarikatnya iaitu Kop Travel & Tours Sdn Bhd. Langkah drastik ini merupakan satu suntikan serta satu lonjakan baru kepada Anggota Lembaga Koperasi ke arah memulihkan kedudukan koperasi dengan lebih cepat.

Untuk makluman YDH Tan Sri Yang Dipertua, pada tahun 2011 KOP Travel & Tours Sdn Bhd telah menerima Anugerah Perak dari pihak Malaysia Airlines System (MAS); manakala pada 14hb Jun 2013 yang baru lalu, KOP Travel & Tours Sdn Bhd telah sekali lagi menerima Anugerah Emas dari pihak MAS.

Berdasarkan kepada rekod pencapaian KOP Travel & Tours Sdn Bhd, di sini saya ingin mengemukakan permohonan dan hasrat kepada YDH Tan Sri Yang Dipertua untuk anak-anak syarikat Koperasi diberi peluang untuk melaksanakan kerja-kerja berikut:

1.       KOP Transport Sdn Bhd.

a.       Kerja-kerja senggeraan kenderaan dan Pembekalan Alat Ganti Kenderaan.
b.       Pembungkusan dan Pemindahan Anggota PDRM ke seluruh Malaysia dan Luar Negara.

2.       KOP Construction Services (Malaysia) Sdn Bhd.

a.       Pembinaan IPK, IPD dan MES Pegawai secara usahasama dengan pihak luar (swasta).
b.       Membangunkan tanah-tanah milik PDRM.
c.       Penyelenggaraan & pencucian bangunan PDRM.

3.       KOP Aviation Sdn Bhd.

          Memaksimakan pemberian kerja-kerja pembaikan yang berkaitan dengan Avionik dan instrument berdasarkan kontrak yang sedia ada.

4.       KLI Hotel Management Sdn Bhd.

PDRM mengadakan kursus/seminar di Hotel KL International Hotel dan City Park Hotel Melaka.

5.       KOP Security Agency Sdn Bhd.

          Mendapatkan kelulusan tambahan Senjatapi dari pihak PDRM.

6.       KOP Educators & Consultants  Sdn Bhd.

Mengadakan kursus-kursus jangka pendek.

Sekiranya ini menjadi kenyataan, Koperasi dijangka boleh menjana pendapatan secara tetap antara RM5 juta hingga RM10 juta setahun atau lebih.

Yang Dihormati Dato’-Dato’, Tuan-Puan sekelian,

Pada ketika yang sama, Koperasi sedang melalui proses transformasi dan proses pentstrukturan semula, terutama dalam pendekatan perniagaan serta ”business plan” yang lebih agresif dan berdaya saing.  Antara isu-isu yang sudah dan sedang dilaksanakan adalah:

Isu Litigasi - Di masa-masa lalu didapati isu litigasi atau perundangan telah memberi kesan negatif kepada kedudukan Koperasi.  Peguam-peguam yang dilantik nampaknya tidak benar-benar melindungi kepentingan Koperasi.  Ini menyebabkan banyak transaksi perjanjian yang ditandatangani telah merugikan Koperasi.  Bagi mengatasi masalah ini Koperasi telah menggugurkan firma-firma guaman yang menjadi panel KPD yang tidak melaksanakan tanggungjawab sepertimana yang diharapkan.  Koperasi juga telah melantik panel baru yang lebih kompeten dan boleh melindungi kepentingan Koperasi.

Isu-isu bagi mendapatkan peluang-peluang perniagaan – Baru-baru ini pihak Koperasi telah mengadakan kunjung hormat dengan kepimpinan politik negara iaitu Yang Amat Berhormat Menteri Besar Terengganu, dan seterusnya Yang Amat Berhormat Menteri Besar Perak bagi mendapatkan tanah-tanah yang boleh dimajukan dan dibangunkan untuk tujuan komersil perladangan dan perdagangan.  Perkara ini telah dan sedang diusahakan.  Jika semua yang dirancang ini berjaya, ia dijangka akan mengukuhkan lagi kedudukan Koperasi.

KPD juga sedang mencari peluang-peluang baru dalam bidang Teknologi Maklumat (IT), perkhidmatan dan juga perniagaan runcit iaitu menjual basikal elektrik dan peralatan aksesori bagi keperluan PDRM yang melibatkan uniform pasukan PDRM seperti kain, kasut, cap dan lain-lain.

Kolaborasi Koperasi Polis dan Jabatan Logistik PDRM – Pada hemat saya, bagi menjayakan projek-projek dalaman atau ”in-house project of PDRM” oleh Koperasi, sokongan padu dari Jabatan Logistik amat diperlukan.  Kolaborasi ini sekiranya dapat dilaksanakan dengan mantap, sudah tentu akan menyumbang kepada pemulihan Koperasi secara menyeluruh demi kebaikan ahli-ahli Koperasi.  Dalam konteks ini, bantuan serta persefahaman antara Koperasi dan Jabatan Logistik amat diperlukan.
Anggota Lembaga juga dengan arahan dan kebenaran Yang Dipertua akan bertemu dan memberi taklimat kepada Yang Berhormat Menteri Dalam Negeri mengenai kedudukan dan prestasi KPD dalam masa terdekat serta akan menyatakan hasrat untuk mendapatkan peluang-peluang perniagaan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN).  Sekiranya ada sokongan daripada Yang Berhormat Menteri, dijangka usaha pemulihan KPD akan dapat diuruskan dengan cepat dan mudah.  Dengan itu Koperasi akan kembali ke landasan yang betul dan bakal muncul sebagai salah sebuah koperasi yang terulung di negara ini.

Untuk makluman tuan-tuan dan puan-puan juga, ketika ini Koperasi Polis telah membuka rundingan dengan syarikat-syarikat luar seperti Proton Commerce Sdn Bhd, Celcom Mobile Sdn Bhd dan telah pun menjalan usahasama perniagaan dengan syarikat rakan niaga seperti Sai Cherry Sdn Bhd, MEOG Holdings Sdn Bhd.

Tuan-tuan dan Puan-puan hadirin sekelian,

Modal Yuran dan Modal Saham

Menyentuh mengenai Modal Yuran, pada tahun 2012 telah meningkat sebanyak 1.5%  kepada RM328 juta berbanding RM323 juta pada tahun 2011. Manakala modal saham berkurangan kepada RM13 juta pada tahun 2012 berbanding RM14.2 juta pada tahun 2011.

 

Aset Koperasi

Sementara itu, nilaian keseluruhan aset kumpulan koperasi  telah meningkat sebanyak RM38,751,392 dari RM493,399,683 dalam tahun 2011 kepada RM532,151,075 pada tahun 2012.

Hadirin dan Hadirat yang dihormati,

Bantuan Pelajaran & Khairat Kematian

Keprihatinan Koperasi terhadap kebajikan pelajaran anak-anak anggota tidak pernah dilupakan malahan tetap diteruskan dan diperkemaskan dari masa ke semasa.

Sepanjang tahun 2012, Koperasi telah memperuntukkan Bantuan Pelajaran Rendah dan Bantuan Pelajaran Tinggi  sebanyak RM237,090 kepada anak-anak anggota yang layak.  Pertambahan sebanyak 4% dari tahun 2011 yang berjumlah RM227,140 membuktikan tahap pencapaian anak-anak anggota dalam pelajaran juga bertambah baik.  Tahniah dan syabas kepada mereka yang telah berjaya mendapat kelulusan yang cemerlang.

Bagi bantuan Khairat Kematian, sejumlah 245 kes kematian anggota telah dilaporkan dan Koperasi telah membuat bayaran khairat sebanyak RM1,000 kepada setiap waris anggota.   Jumlah bantuan yang dikeluarkan sepanjang tahun 2012 adalah sebanyak RM245,000.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan hadirin sekelian,

Insuran

Keahlian skim insuran kemalangan berkelompok telah menurun bilangannya sebanyak 8,039 unit dalam tahun 2012 menjadikan jumlahnya sebanyak 119,072 unit berbanding 127,111 dalam tahun 2011.  Pampasan yang telah dibayar dalam tahun 2012 berjumlah RM4,088,622 kepada anggota sebagai kemudahan serta faedah kerana menyertai skim ini.

Manakala skim kop perubatan, secara purata keahliannya juga menurun seramai 1,613 orang menjadikan bilangan keahlian setakat 31 Disember 2012 berjumlah 11,158 orang.  Sejumlah  RM13,086,017 pampasan insuran perubatan telah dibayar kepada anggota dalam tahun 2012.

Selain Skim Takaful Kemalangan Berkelompok dan Skim Kop Perubatan yang diwujudkan bersama dengan Syarikat Takaful Malaysia Berhad, baru-baru ini Koperasi Polis telah menandatangai Perjanjian Persefahaman dengan dua syarikat takaful iaitu HSBC Amanah Takaful Berhad bagi Skim Pinjaman Perumahan Perbendaharaan; dan Agensi Takaful Ikhlas Sdn Bhd bagi Skim Ikhlas Saving Badal Hajj.
 
Yang Dihormati Dato’-Dato’, Tuan-Tuan Dan Puan-Puan,

Adalah lumrah bahawa setiap langkah yang dilaksanakan akan mempunyai kesan negatif di mana terdapat sekelompok anggota melihat Koperasi dengan pandangan yang skeptikal dan tidak begitu yakin dengan kemampuan koperasi.  Kesannya sebilangan anggota mula menarik diri dan berhenti menjadi ahli koperasi polis.  Oleh yang demikian, menjadi tanggungjawab kita semua untuk berusaha memujuk anggota-anggota yang ’merajuk’ ini kembali bersama koperasi dan memulihkan keyakinan mereka melalui hujah yang bernas, disokong dengan fakta yang betul dan telus.

Saya percaya cara memujuk dan meyakinkan anggota yang paling berkesan ialah dengan kita sama-sama berusaha lebih gigih meningkatkan pendapatan yang memberi pulangan yang lebih baik.  Sekiranya koperasi dapat menjana pendapatan yang tinggi serta mampu memberikan dividen yang memuaskan, secara tidak langsung semua anggota akan kembali, kekal dan setia kepada Koperasi.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

Suka saya menarik perhatian semua bahawa selaras dengan perubahan di dalam dunia teknologi, sektor koperasi turut menerima tempiasnya.   Bagi Koperasi mendekatkan diri dengan para anggota tidak lain adalah dengan mempraktikkan penggunaan teknologi maklumat atau urusan secara on-line dengan lebih meluas.  Penggunaan teknologi maklumat secara talian menjadi asas utama pada masa ini untuk sesebuah organisasi lebih berdaya saing.  Koperasi memahami kehendak anggota yang inginkan segala urusan menjadi lebih mudah, pantas dan boleh akses di mana sahaja serta lebih mesra pengguna dan Koperasi sedang berusaha ke arah itu.

Yang Dihormati Dato’-Dato’, Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

Saya bagi pihak Anggota Lembaga dan seluruh warga koperasi, mengambil peluang ini untuk merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam usaha membantu Koperasi Polis khususnya kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Kewangan, Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan semua pihak yang telah memberikan pertolongan serta kerjasama dalam memajukan Koperasi Polis Diraja Malaysia Berhad.

Ucapan terima kasih juga ditujukan kepada Yang Dihormati Tan Sri Dato’ Sri Khalid bin Abu Bakar,  Ketua Polis Negara merangkap Yang Dipertua KPD dan juga kepada semua pucuk pimpanan PDRM di atas segala bentuk sokongan, kerjasama serta keprihatinan yang ditunjukkan kepada Koperasi.

Akhir sekali ucapan terima kasih saya tujukan kepada semua jemputan khas, para perwakilan, kakitangan Koperasi dan anak-anak syarikat yang telah dan sentiasa terus setia menabur khidmat demi masa depan Koperasi yang kita disayangi ini.  Juga ucapan terima kasih daun keladi kepada semua rakan niaga yang sudi memberikan sumbangan bagi menjayakan persiapan Mesyuarat Agung kali ini.

Saya akhiri ucapan ini dengan lafaz wabillah hi taufik wal hidayah wassalamualaikum warahmatullah hi wabarakatuh.

Terima kasih.

 
17 Jun 2013
Unit Perhubungan Awam KPD

Ucapan MB Kedah: Bajet 2015

Assalamualaikum w.b.t.

Salam Sejahtera. Salam Kedah Aman Makmur.

Segala puji-pujian ke hadrat Allah S.W.T., selawat serta salam ke atas Junjungan Besar, Nabi Muhammad S.A.W., kaum keluarga baginda dan para sahabat.

Yang Berhormat Dato’ Paduka Speaker,

1. Kedah Darul Aman kebanggaan kita. Ribuan tahun usia tamadunnya. Negerinya berdaulat, penuh beradat. Sejarahnya gemilang, tinggi pula martabatnya. Rakyatnya, pedagang terbilang. Adil memerintah, Islam dijunjung. Orangnya ramah, Raja memayung.

2. Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T. atas segala limpah, rahmat dan kurniaNya. Hari ini, kita dapat berkumpul di Dewan Yang Mulia ini bagi merencana pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah. Kita berkumpul bagi melaksanakan tanggungjawab kita sebagai wakil-wakil rakyat dengan berbekalkan amanah besar. Sekali lagi, kita akan berbahas bagi meluluskan satu perbelanjaan Kerajaan Negeri bagi tahun 2015.

3. Izinkan saya memulakan pembentangan Bajet Negeri Kedah Darul Aman bagi tahun 2015 ini dengan memetik ayat suci Al-Quran, Surah Ibrahim, Ayat 7, bilamana Allah S.W.T. berfirman, yang bermaksud :

“ Dan apabila Tuhan kamu mengingatkan, sesungguhnya jika kamu bersyukur pasti Kami akan menambah nikmat kepada kamu, dan sesungguhnya jika kamu mengingkari nikmat-Ku maka sesungguhnya azabKu sangat pedih.

4.​Manakala dalam Surah Al-Baqarah, Ayat 152, Allah S.W.T. berfirman dengan maksudnya:

“ Maka ingatlah kepada-Ku, nescaya Aku pun akan ingat kepadamu, bersyukurlah kepada-Ku dan janganlah kamu mengingkari nikmat-Ku. ”

Semoga dua potong ayat yang dibacakan tadi menjadi pegangan dan panduan kepada kita semua untuk sentiasa bersyukur akan nikmat kemakmuran yang dilimpahkan kepada kita dan semoga Allah S.W.T. akan menambahkan lagi nikmatNya kepada negeri yang bertuah ini.

5. Adalah menjadi tanggungjawab saya sebagai seorang yang diletakkan amanah oleh rakyat untuk menunaikan kewajipan bagi memakmurkan negeri Kedah Darul Aman yang tercinta ini demi kemaslahatan kita bersama. Semestinya kita semua di Dewan Yang Mulia ini haruslah bersama-sama berganding bahu dan mengembleng tenaga dalam melaksanakan amanah ini supaya nikmat kemakmuran yang diperolehi sekarang akan terus berkekalan hendaknya.

6. Bajet 2015 ini adalah sebagai penyambung tradisi kepada keupayaan Kerajaan Barisan Nasional dalam memakmurkan Negeri Kedah dan membawa kemajuan kepada semua lapisan rakyat. Ianya adalah juga sebagai tanda terima kasih Kerajaan Negeri kepada semua rakyat Kedah kerana memberikan mandat untuk meneruskan agenda transformasi yang direncanakan. Oleh itu, Kerajaan Negeri akan sentiasa memberikan yang terbaik kepada seluruh rakyat Negeri Kedah dengan memantapkan lagi sistem penyampaian perkhidmatan supaya lebih efisien, efektif dan berimpak tinggi. Amanah yang diberikan dan kepercayaan yang disandarkan ini akan dipikul oleh saya bersama semua barisan kepimpinan negeri ini dengan penuh dedikasi dan berintegriti, Inshaa-Allah.

Yang Berhormat Dato’ Paduka Speaker,

7. Sehingga Oktober 2014, kutipan sebenar hasil Kerajaan Negeri telah mencapai RM450 juta berbanding jumlah yang diunjurkan sepanjang tahun 2014 sebanyak RM731.4 juta. Kerajaan berharap perbezaan ini dapat dikecilkan menjelang akhir tahun ini jika sekiranya semua pihak dapat melaksanakan tanggungjawab masing-masing di dalam usaha menambah hasil negeri. Dalam masa yang sama, pengurusan kewangan hendaklah dilaksanakan dengan penuh berintegriti, berhemah, tepat dan cepat bagi mencapai keseimbangan antara pertambahan hasil dan peningkatan perbelanjaan.

8. Sehingga Oktober 2014 juga Kerajaan Negeri membelanjakan sebanyak RM410 juta untuk pengurusan berbanding jumlah yang dibajetkan bagi keseluruhan tahun 2014 sebanyak RM776 juta. Perbelanjaan yang dibuat oleh Kerajaan perlu seiring dengan pendapatan supaya kedudukan kewangan negeri sentiasa berada di dalam keadaan seimbang.

9. Kerajaan telah mengamalkan pendekatan perbelanjaan secara berhemah sepanjang tahun ini bagi memastikan ianya tidak melebihi keupayaan. Dalam masa yang sama, Kerajaan mesti merangka program dan projek pembangunan yang mampu membina semula kegemilangan Negeri Kedah. Untuk tujuan itu, perancangan jangka panjang disusun dengan penuh rapi. Disamping itu, semua perancangan projek berbentuk katilistik yang telah dibuat dengan teliti akan dimulakan secara agresif pada tahun 2015. Kerajaan yakin, ini akan melonjakkan kedudukan ekonomi Negeri dan akan sekaligus menambah pendapatan sebahagian besar rakyat.

10. Bajet 2015 yang dibentangkan ini merupakan bajet terakhir dalam Rancangan Malaysia ke-10. Oleh itu bajet pada kali ini lebih menumpukan kepada penyelesaian projek-projek dan program-program yang telah dirancang dalam Rancangan Malaysia Ke-10 selaras dengan empat teras pembangunan negeri yang ditetapkan iaitu:

i. Menjamin kemakmuran dan kelangsungan kesejahteraan rakyat;
ii. Merangsang pertumbuhan ekonomi dalam negeri;
iii. Memantapkan sistem penyampaian perkhidmatan awam; dan
iiii. Mengupaya modal insan dan keusahawanan

11. Keempat-empat teras ini menjadi paksi kepada falsafah ekonomi modal dan ekonomi rakyat (capital economy and people’s economy), sebagaimana yang ditegaskan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Kewangan semasa membentangkan Bajet Nasional 2015. Penyediaan bajet tahun ini menitikberatkan penyeimbangan antara ekonomi makro dan ekonomi mikro. Kekayaan dan kemakmuran negeri melalui pertambahan jumlah pelaburan yang tinggi serta dasar kewangan fiskal akan dapat membawa pertumbuhan yang pesat yang akhirnya melimpah untuk dinikmati oleh setiap lapisan masyarakat di negeri ini.

RANCANGAN MEMACU PEMBANGUNAN

Yang Berhormat Dato’ Paduka Speaker,
12. Dalam merangka strategi pembangunan yang lebih efisien dan mampan, Kerajaan melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri dengan kerjasama Universiti Utara Malaysia telah mengadakan satu Pemukiman Rancangan Malaysia ke-11 pada bulan September tahun ini yang melibatkan semua agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan bersama-sama agensi swasta serta pertubuhan bukan kerajaan bagi menyumbangsaran (brainstorming) dan berbincang bagi menentukan projek-projek dan program-program yang akan dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 nanti. Melalui Pemukiman berkenaan juga, kita telah menentukan projek-projek utama yang akan memacu pembangunan dan kemajuan negeri kita. Meskipun perlaksanaannya dijangka bermula dengan RMK – 11, tetapi Kerajaan Negeri mengambil tindakan awal untuk menyiapkan prasarana mulai tahun hadapan.

Projek-projek katilistik yang dikenalpasti adalah:

Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim atau KXP
13. Walaupun Negeri Kedah sudah mempunyai dua lapangan terbang iaitu Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Alor Setar dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, namun pembinaan lapangan terbang ketiga ini dilihat amat penting untuk memainkan peranan sebagai pintu masuk dan keluar aktiviti perdagangan wilayah utara. Ini dikuatkan lagi dengan justifikasi yang diterima ramai.

14. Kesesakan trafik di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang diakui akan menjadi lebih kritikal dalam masa beberapa tahun lagi. Ini disokong lagi dengan hujah bahawa Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang bakal mengalami pertumbuhan semakin pesat dalam masa tiga tahun akan datang dalam hal pengendalian penumpang. Maka ianya semakin kurang mampu untuk memainkan peranan sebagai lapangan terbang bagi pengangkutan kargo. Peranan inilah yang akan diambilalih oleh KXP.

15. Keperluan membina lapangan terbang antarabangsa yang mempunyai dua landasan bagi memudahkan pergerakan ketibaan dan pelepasan serta kemudahan kawalan trafik tidak dapat dipertingkatkan di mana-mana lapangan terbang berdekatan. Maka sekali lagi, fakta ini menjadi justifikasi utama kebolehwujudan KXP. Kebanyakan penerbangan tambang murah sentiasa memberi penekanan kepada operasi pantas apabila tiba di sesuatu destinasi. Justeru, dua landasan berkembar yang dirancang untuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim dapat menarik syarikat tambang murah dengan serta-merta, malah diharap akan ada syarikat penerbangan tambang murah domestik dan antarabangsa yang akan menjadikan KXP sebagai hub operasi bagi rantau ini.

Yang Berhormat Dato’ Paduka Speaker,

14.​Bayangkanlah jika impian ini menjadi kenyataan hasil daripada usaha kuat kerajaan yang ada sekarang dengan sokongan penuh daripada Kerajaan Persekutuan, seluruh Negeri Kedah akan menerima limpahan yang amat besar dari segi peluang perniagaan, peluang perkhidmatan dan peluang pekerjaan. Inilah yang dikatakan ekonomi modal (capital economy) menyumbang kepada ekonomi rakyat (people’s economy).

Bandaraya Aero Kedah (Kedah Aerocity)

15.​Malaysia sudah terkenal sebagai pengeluar komponen dan alat pesawat kapal terbang. Syarikat-syarikat yang terletak di Melaka, Selangor dan Kedah ini menyumbang kepada pembinaan pesawat jenama besar seperti Boeing dan Airbus.Pengeluar komponen pesawat dan perkhidmatan penyelenggaraan pembaikan dan “overhaul”, atau MRO, memerlukan akses kepada landasan kapal terbang di lapangan terbang.

16.​Oleh itu, kerajaan merancang untuk menyediakan sebidang tanah sebesar tidak kurang dari 100 ekar di KXP untuk menempatkan syarikat-syarikat pengeluar komponen dan perkhidmatan MRO pesawat. Taman industri ini dinamakan Kedah Aerocity.

Projek utama yang ketiga ialah Lebuhraya Sungai Petani-Kedah Inner Expressway (SPIKE)

17. Rancangan Kerajaan Negeri untuk mewujudkan sebuah lebuhraya baharu yang akan menghubungkan Changkat Jering di Perak ke Sungai Petani melalui Kulim sepanjang 133kilometer bermatlamat merancakkan pembangunan kawasan luar bandar di Negeri Kedah. Dalam masa yang sama lebuhraya ini akan dapat memendekkan masa perjalanan di Lebuhraya Utara-Selatan kerana ianya akan menjadi lencongan daripada kesesakan yang berlaku di Seberang Perai, Pulau Pinang. Di masa akan datang, Kerajaan mempunyai pilihan untuk menyambungkan lebuhraya ini sehingga ke Bukit Kayu Hitam sejauh 83 kilometer.

18. Secara tidak langsung, dengan adanya hubungan jalan yang baik, ianya akan dapat menarik para pelabur dan meningkatkan nilai hartanah di sepanjang jajaran yang dirancangkan. Cadangan jajaran ini kemudiannya akan menjadi satu pakej yang lengkap kepada wujudnya Taman Teknologi Tinggi Kulim dan KXP. Sekali lagi sumbangan ekonomi modal (capital economy) memanfaatkan ekonomi rakyat (people’s economy).

Yang Berhormat Dato’ Paduka Speaker,

Projek berikutnya, Bandaraya Getah Kedah (Kedah Rubber City)

19. Sebagaimana kita sedia maklum, negeri Kedah adalah negeri pertanian dan getah merupakan satu komoditi utama. Negeri Kedah dan Wilayah Selatan Thailand dikenali sebagai antara pengeluar getah yang terbesar di dunia. Kelebihan ini harus diambil kesempatan oleh Kerajaan Negeri bagi mewujudkan satu bandaraya getah yang akan menjadi pengeluar utama produk berasaskan getah, selain bertindak sebagai pusat penyelidikan getah.

20. Kita percaya pengwujudan Bandaraya Getah yang dikelilingi oleh sumber bahan mentah yang begitu banyak akan menarik minat pengeluar-pengeluar barangan berasaskan getah melalui penggunaan teknologi tinggi, umpamanya barangan keperluan industri automotif, perubatan dan lain-lain. Cadangan tapak yang sesuai adalah di Ladang Bukit Ketapang, Daerah Padang Terap. Sebagai respon kepada penguncupan harga getah akhir-akhir ini, pembangunan yang dicadangkan bakal memberi satu nafas baharu kepada pekebun-pekebun kecil di seluruh Negeri Kedah.

21. Sementara menanti rancangan itu direalisasikan, keperitan hidup dan rintihan para pekebun dan penoreh getah mutakhir ini tidak dipandang sepi. Sebagai langkah awal, dengan serta-merta kerajaan negeri Kedah telah memulakan pemberian bantuan bahan keperluan harian kepada dua ribu pekebun kecil yang layak di seluruh negeri Kedah. Bantuan ini diberi secara berperingkat mulai November 2014. Sungguhpun nilainya tidaklah begitu besar, tetapi setidak-tidaknya bantuan ini akan dapat meringankan bebanan sementara menunggu usaha-usaha laindalam menangani keperitan hidup yang dialami oleh penoreh-penoreh getah. Masalah kejatuhan harga getah bukannya sesuatu di bawah kawalan Kerajaan. Namun atas rasa tanggungjawab dan keprihatinan Kerajaan ke atas nasib rakyat, maka bantuan makanan asas ini diusahakan.

Satu lagi projek utama ialah Taman Sains & Teknologi Kedah (Kedah Science and Technology Park)

22. Kelebihan geo-ekonomi yang dimiliki oleh rantau ASEAN kerana sumber asas industrinya yang murah dan pasaran yang besar dengan kuasa beli yang meningkat menjadikan ianya pilihan utama kepada pelabur-pelabur di dalam industri pengeluaran automobil Thailand, Malaysia dan Indonesia. Faktorini telah mencetuskan ilham kepada Kerajaan Negeri untuk mewujudkan sebuah Taman Sains dan Teknologi yang menempatkan pusat-pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) sepertimana yang dikehendaki oleh pelabur-pelabur di dalam industri automotif dan lain-lain yang akan menjadi pelengkap kepada keperluan industri berat.

23. Bagi mempercepatkan pelaksanaan taman ini, Kerajaan Negeri mencadangkan supaya disediakan sebidang tanah seluas 1,695 ekar di Bukit Kayu Hitam, dalam Daerah Kubang Pasu, yang mana sebahagian besarnya dimiliki oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK). Sudah pun ada pelabur daripada luar negara yang telah menunjukkan minat untuk menyertai projek ini. Sekali lagi, ekonomi modal (capital economy)ini juga yang akan membawa manfaat yang besar kepada ekonomi rakyat (people’s economy), terutama kepada penduduk Negeri Kedah.

Yang Berhormat Dato’ Paduka Speaker,

Turut diutamakan ialah projek Bandaraya Sains Perubatan Kedah ( Kedah Medical Science City).

24. Bagi merebut peluang untuk menjemput seramai mungkin pelabur ke negeri Kedah, kerajaan telah membuka tawaran kepada mana-mana pihak yang berminat untuk membangunkan sebidang tanah kerajaan seluas 660 ekar di Bandar Baharu. Dari beberapa cadangan yang diterima oleh kerajaan, yang paling menarik adalah cadangan projek Bandaraya Sains Perubatan Kedah atau Kedah Medical Science City, dengan izin.

25. Pengeluar-pengeluar utama barangan perubatan dari seluruh dunia umpamanya daripada Australia, Amerika Syarikat, Jerman dan Itali berhasrat untuk menjadikan Bandaraya Sains Perubatan sebagai pusat cawangan di rantau ini. Faktor tarikan kepada pelabur ini adalah wujudnya begitu banyak syarikat kecil dan sederhana dari sektor elektronik di Koridor Utara ini yang akan menjadi pembekal kepada industri teknologi pembuatan.

26. Bilamana projek-projek utama ini dilaksanakan seperti yang dirancang, ianya bakal merobah lanskap ekonomi negeri. Kek ekonomi yang akan dikongsi pelbagai lapisan rakyat di negeri Kedah akan menjadi lebih besar. Maka sudah tentulah pengagihan yang saksama serta inklusif dapat diusahakan.

PROGRAM PEMBANGUNAN KEDA

Yang Berhormat Dato’ Paduka Speaker,

27. Dalam usaha membangunkan Negeri Kedah, Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) turut memainkan peranan penting, terutamanya dalam usaha membangunkan wilayah, seterusnya membasmi kemiskinan. Fokus utama KEDA adalah untuk meningkatkan pendapatan penduduk luar bandar menerusi strategi mempelbagaikan sumber ekonomi rakyat dengan program pembangunan yang dilaksanakan secara bersepadu yang meliputi skop menyedia dan menaiktaraf keperluan infrastruktur serta program pembangunan modal insan.

28. Kawasan-kawasan yang menjadi tumpuan pembangunan KEDA adalah kawasan terpencil yang memerlukan perhatian khusus, yang meliputi kawasan Bagan Samak dan Serdang di Daerah Bandar Baharu, kawasan Pengkalan Batu Lintang di Daerah Kuala Muda, kawasan Rambong di Daerah Baling, kawasan Belantik dan Gulau di Daerah Sik dan kawasan Padang Sanai di Daerah Padang Terap.

29. Bagi mencapai tujuan peningkatan pendapatan peladang, KEDA telah mengambil inisiatif memperkenalkan projek-projek baharu dalam bidang ternakan dan tanaman. Projek-projekini akan diteruskan dengan mewujudkan industri hiliran berkaitan dengannya. Melalui program Pembangunan Insan, KEDA telah menubuhkan Kolej KEDA di Daerah Sik yang menawarkan peluang latihan vokasional kepada 720 pelatih. Dalam menangani isu kumpulan termiskin, KEDA telah menubuhkan Tabung Khas untuk mengumpul dana yang akan diagihkan kepada golongan sasaran. Sebahagian daripada keuntungan daripada projek-projek yang dibantu oleh KEDA akan dimasukkan ke dalam tabung tersebut.

30. Bagi tahun 2015, Kerajaan Negeri amat berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana telah memperuntukkan sebanyak RM40.2 juta kepada KEDA bagi tujuan pembangunan wilayah dan membasmi kemiskinan di seluruh negeri Kedah.

PRESTASI DAN PROSPEK EKONOMI

Yang Berhormat Dato’ Paduka Speaker,

31. Meninjau pencapaian ekonomi negeri pada ketika ini, Kerajaan merasakan sesuatu harus dilakukan bilamana pendapatan per kapita Negeri Kedah kini berada di kedudukan ke-14 iaitu kedua terbawah sebelum Kelantan. Ini bermakna pendapatan rakyat Negeri Kedah tidak setanding pendapatan rakyat di negeri-negeri lain.

32. Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, lebih 50 peratus daripada isirumah di Negeri Kedah mempunyai pendapatan antara RM2,000 hingga RM6,000. Ini menunjukkan bahawa majoriti rakyat Negeri Kedah berada pada tahap pendapatan yang sederhana. Yang berpendapatan isirumah di bawah RM2,000 pula adalah sebanyak 25 peratus.

33. Pertumbuhan ekonomi haruslah seiring dengan pengagihannya. Tetapi usaha untuk melaksanakan pengagihan menghadapi masalah kerana terdapatnya jurang di antara golongan yang berpendapatan tinggi dengan golongan yang berpendapatan rendah. Oleh itu, Kerajaan berpendapat tumpuan haruslah diberikan kepada pertumbuhan kek ekonomi ke tahap yang lebih besar. Pengagihan yang kita harapkan tidak akan berlaku selagi tiada pertumbuhan.

34. Jumlah penduduk di Negeri Kedah kini mencecah 2.02 juta orang. Namun kadar kemiskinan telah menurun sejak tahun 2014 di mana 36.79 peratus rakyat yang sebelum ini tersenarai sebagai rakyat miskin telah terkeluar dari belenggu kemiskinan, sekaligus membuktikan bahawa senario ekonomi di negeri ini semakin pulih sejak tahun lalu. Sepanjang tempoh dua tahun Kerajaan Barisan Nasional mengambilalih pentadbiran Kerajaan Negeri, kita telah banyak menjalankan program dan aktiviti memulihkan keadaan ekonomi rakyat. Kerajaan telah membuka ruang kepada pelabur-pelabur luar untuk melabur di negeri ini yang menyumbang kepada kewujudan lebih banyak peluang pekerjaan berpendapatan tinggi.

Yang Berhormat Dato’ Paduka Speaker,

35. Selain sumbangan pelabur-pelabur, kerajaan juga menyediakan pelbagai inisiatif kepada rakyat yang ingin menceburi bidang keusahawanan. Pada 10 November yang lalu, Unit Pembangunan Usahawan Kedah atau singkatannya UPUK yang bertempat di Pusat Transformasi Bandar Kedah (UTC Kedah) telah dirasmikan. Tujuan utama pengwujudan unit ini adalah untuk melahirkan usahawan-usahawan baharu terutamanya usahawan muda, usahanita termasuk usahawan dari kalangan ibu tunggal dan usahawan dari golongan orang kelainan upaya (OKU). Unit ini akan menjadi pusat rujukan kepada usahawan-usahawan baharu untuk mengetahui peluang-peluang serta insentif yang ditawarkan oleh agensi Kerajaan Negeri dan agensi Kerajaan Pusat yang membimbing usahawan.

36. UPUK juga bertindak sebagai pusat mikrokredit Kedah yang menyediakan dana permulaan kepada usahawan-usahawan mikro dengan kadar faedah yang lebih rendah daripada agensi atau institusi kewangan komersial. Sukacita diumumkan, skim mikrokredit ini akan mula dilancarkan oleh UPUK pada suku pertama tahun 2015. Bagi membiayai skim mikrokredit di bawak UPUK, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM 2 Juta.Tambahan dana untuk tujuan ini sedang dipohon dari Kerajaan Persekutuan dan agensi-agensi berkaitan seperti Teraju.

PERUMAHAN

Yang Berhormat Dato’ Paduka Speaker,

37. Prestasi pembangunan perumahan yang berkembang pesat di Negeri Kedah adalah didorong oleh komitmen tinggi dari semua pihak yang terlibat seperti Jabatan Perumahan Negara (JPN), Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA), Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), Syarikat-syarikat Berkepentingan Kerajaan (GLC) Negeri dan Persatuan Pemaju-Pemaju Perumahan (REHDA) Negeri Kedah.

38. Pembangunan perumahan di Negeri Kedah,khususnya dalam menyediakan Rumah Mampu Milik (RMM) untuk Tahun 2013 dan 2014 telah mencapai sasaran seperti yang dihasratkan oleh Kerajaan iaitu untuk menyediakan 6,000 unit Rumah Mampu Milik setahun.

39. Untuk tahun 2013, sejumlah 4,801 Rumah Mampu Milik telah mendapat kelulusan pembinaan di bawah Jabatan Perumahan Negara. Sejumlah 812 unit pula adalah melalui Program Perumahan Rakyat (PPR) di Kampung Kilat dan Kampung Naga manakala melalui Skim Pinjaman Perumahan (SPP) sejumlah 126 unit diluluskan di seluruh Negeri Kedah. Penawaran bagi rumah kos rendah oleh pemaju-pemaju swasta adalah berjumlah 1,019 unit. Di Sungai Petani, Kerajaan telah meluluskan pembinaan sejumlah 1,349 unit rumah oleh pihak PR1MA.

40. Bagi tahun 2014 pula, prestasi pembangunan perumahan semakin rancak dengan kelulusan pembinaan kepada pihak PR1MA yang berjumlah 6,373 unit Rumah Mampu Milik di Sungai Petani, Kulim dan Pulau Langkawi. Di samping itu, sejumlah 2,505 unit pembinaan rumah melalui pelbagai program termasuk Program Rumah Mesra Rakyat telah mendapat kelulusan. Bagi program Generasi Kedua Felda, sejumlah 640 unit rumah telah diluluskan pembinaan di Felda Sungai Tiang, Laluan Selatan dan Teloi Kanan, Baling.

41. Kementerian Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) melalui Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) telah menyumbang sebanyak 221 unit rumah menerusi Program Bina Rumah dan Kampung Tradisional.

42. Kerajaan amat menitikberat keperluan rakyat untuk memiliki rumah. Namun, kita tidak melupakan golongan yang masih belum mampu membeli rumah dan terpaksa menyewa. Oleh itu, Kerajaan masih meneruskan Program Rumah Transit dengan bayaran sewaan yang amat rendah. Kemampuan Kerajaan terbatas dan tidak dapat membina lebih banyak Rumah Transit di seluruh Negeri Kedah. Bagi meringankan beban khususnya golongan rakyat yang berpendapatan rendah, Kerajaan dengan sukacitanya mengumumkan satu Program Bantuan Subsidi Sewa Rumah. Program ini akan dimulakan dengan secepat mungkin setelah menyenaraikan mereka yang berkelayakan. Kerajaan percaya Bantuan Subsidi Sewa Rumah ini akan dapat meringankan beban rakyat dengan fokus kepada yang amat memerlukan.

PERUNTUKAN BAJET 2015

Yang Berhormat Dato’ Paduka Speaker,
43. Bajet 2015 menganggarkan hasil sebanyak RM743,656,021.00. Penyediaan anggaran hasil negeri bagi tahun 2015 mengambilkira hasil yang berhak dikutip. Sebagai contoh :
i. Anggaran hasil tanah berdasarkan jumlah yang patut dikutip;
ii. Anggaran kutipan tunggakan hasil tanah adalah berdasarkan jumlah tunggakan sebenar;
iii. Anggaran premium tanah berdasarkan jumlah Notis 5A yang telah dikeluarkan tetapi belum dijelaskan oleh pemohon; dan
iiii. Lain-lain punca hasil yang masih tertunggak (hasil air, dividen, pelaburan, dan cukai tertunggak)

44. Bajet 2015 memperuntukkan sebanyak RM804,616,981.00 untuk perbelanjaan mengurus dan sebanyak RM276,980,046 untuk perbelanjaan pembangunan. Daripada jumlah peruntukan perbelanjaan mengurus, sebanyak RM194 juta diperuntukkan bagi menampung defisit pembangunan di bawah Kumpulanwang Pembangunan Negeri di mana perbelanjaan bagi pembangunan yang dirancang tidak dapat ditampung oleh sumber pendapatan di bawah Kumpulanwang tersebut.

INFRASTRUKTUR

Yang Berhormat Dato’ Paduka Speaker,
45. Infrastruktur yang baik dan berkualiti merupakan faktor utama sebagai pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi sesebuah negeri. Ianya merupakan asas utama untuk menarik kemasukan pelaburan sama ada dari dalam mahupun luar negeri. Justeru, Yang Berhormat Dato’ Paduka Speaker, bagi menjamin kemakmuran dan kelangsungan kesejahteraan rakyat, kerajaan memperuntukkan RM52.4 juta melalui Jabatan Kerja Raya bagi menyediakan kemudahan infrastruktur jalan dan kemudahan-kemudahan lain yang akan dinikmati oleh sesiapa sahaja yang berhajat untuk melabur di Negeri Kedah. Bagi tahun 2015, Kerajaan akan memulakan projek pembinaan jalan Pendang Bypass di Daerah Pendang dan pembinaan jalan dan jambatan Alor Merah dari Lebuhraya Darul Aman ke Jalan Suka Menanti. Selain itu, peruntukan sebanyak RM24 juta disediakan bagi menaiktaraf dan menggantikan jalan dan jambatan di seluruh Negeri Kedah mengikut keutamaan.

46. Bagi mempertingkatkan sistem penyampaian perkhidmatan awam negeri, Bajet 2015 memperuntukkan sebanyak RM36 juta bagi membina dan menaiktaraf bangunan-bangunan Kerajaan Negeri. Melalui kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan, institusi keagamaan dapat dipertingkatkan dengan perkongsian kos pembinaan Kompleks Pejabat Agama dan Mahkamah Syariah Daerah Yan dan Padang Terap. Projek ini akan dimulakan pada tahun 2015 dengan anggaran kos pembinaan berjumlah RM20 juta.

47. Di kesempatan ini juga saya ingin memaklumkan kepada Dewan Yang Mulia ini bahawa Masjid Zahir akan menyambut ulangtahun ke-100 pada tahun 2015. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri telah membuat perancangan bagi membaikpulih dan menaiktaraf kemudahan di Masjid Zahir dengan peruntukan sebanyak RM2.2 juta. Kerajaan juga merancang untuk membina sebuah Kompleks Agama Islam yang akan menempatkan Mahkamah Syariah, Pejabat Mufti dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah di Suka Menanti. Kerja-kerja awalan seperti kerja-kerja tapak dan merekabentuk akan dimulakan pada tahun 2015.

PENDIDIKAN, AGAMA DAN MODAL INSAN

Yang Berhormat Dato’ Paduka Speaker,
48. Dalam bajet yang lalu, kita telah meletakkan sasaran untuk berada pada kedudukan lima terbaik dalam pencapaian peperiksaan utama persekolahan. Oleh itu, kerajaan tetap komited bagi merangka program pendidikan dalam usaha meletakkan Negeri Kedah di tempat teratas. Dengan sebab itulah, pada tahun 2015, Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM18 jutasebagai permulaan bagi menyediakan pelbagai program dan strategi untuk membantu para pelajar meningkatkan prestasi akademik. Kerajaan menjangka program pendidikan ini akan dapat memanfaatkan sekurang-kurangnya 340 ribu pelajar di seluruh Negeri Kedah. Pelaburan yang besar ini akhirnya akan dapat membantu menempatkan tenaga kerja di pelbagai sektor yang telah diletak sebagai projek-projek keutamaan negeri.

49. Pada bulan September yang lalu, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri telah mencapai persetujuan untuk menyerahkan 10 buah Maktab Mahmud sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan Persekutuan (SABK) mulai tahun 2015. Namun begitu, Kerajaan Negeri masih bertanggungjawab dalam pembayaran emolumen guru-guru yang terlibat sehingga proses pengambilalihan itu selesai. Peruntukan sebanyak RM45 juta didahulukan bagi melunaskan pembayaran emolumen kepada guru-guru yang terlibat dengan pengambilalihan ini. Pendahuluan ini akan dibayar balik kepada Kerajaan Negeri pada tahun 2016 setelah tanggungjawab ini diambilalih sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan.

50. Kerajaan juga ingin melihat lebih banyak interaksi positif berlaku di antara sekolah-sekolah pelbagai aliran agar dapat memupuk hubungan yang lebih baik. Sekolah Kebangsaan,Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, Sekolah Agama Rakyat, Sekolah Menengah Cina (Persendirian) dan lain-lain akan disatukan dalam beberapa acara integrasi bagi tujuan ini. Peruntukan untuk program seperti ini akan disalurkan melalui portfolio perhubungan kaum.

Yang Berhormat Dato’ Paduka Speaker,

51. Kerajaan Negeri yang berusia dua tahun di bawah pimpinan saya terpaksa menanggung bebanan hutang sebanyak RM45 juta setahun, selama 15 tahun bagi menyelesaikan kos pembinaan kampus tetap Kolej Universiti Insaniah (KUIN) di Kuala Ketil. Ini tidak termasuk pemberian tahunan sebanyak RM12 juta bagi menguruskan perbelanjaan pentadbiran yang tidak pernah cukup dan dijangka ianya akan berterusan sehingga lebih daripada lima tahun akan datang. Bayangkanlah betapa beratnya bebanan yang terpaksa ditanggung berbanding jumlah hasil negeri. Demi menjaga maruah para perancang terdahulu dan masa depan para pelajar, maka Kerajaan Negeri terpaksa memikul tanggungjawab ini.

52. Sekiranya bebanan jumlah yang besar ini dapat dibebaskan daripada Kerajaan Negeri, wang sebanyak itu dapat digunakan untuk projek-projek lain yang dapat memberi impak besar kepada masyarakat. Dengan demikian, Kerajaan Negeri memulakan usaha untuk mendapatkan pinjaman daripada Kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikan bebanan hutang KUINini. Proses ini sudah tentu mengambil masa dan diharap akan berhasil pada tahun hadapan.

53. Menyedari hakikat perlunya modal insan berkualitiyang dibentuk berlandaskan keseimbangan agama dan duniawi, Bajet 2015 telah memperuntukkan sebanyak RM10 juta bagi meneruskan pembinaan Maahad Tahfiz Sains Darulaman di Kulim. Tahun 2015 merupakan tahun ketiga ia beroperasi dengan jumlah pelajar telah meningkat kepada 150 orang. Mudah-mudahan kumpulan pertama yang akan menduduki peperiksaan Penilaian Tingkatan 3 (PT3) akan menjadi tanda aras kepada keberkesanan program pendidikan seperti ini. Seratus peratus pengambilan pelajar Maahad Tahfiz Sains Darulaman ini adalah merupakan anak-anak Kedah, sama ada pelajar dilahirkan di Negeri Kedah ataupun salah seorang ibu atau bapa dilahirkan di Kedah.

PERTANIAN

Yang Berhormat Dato’ Paduka Speaker,
54. Sektor pertanian memberi sumbangan yang besar kepada ekonomi Negeri Kedah sekian lama. Pelbagai program dirangka untuk memperkasakan sektor pertanian, khususnya dalam penanaman padi. Inisiatif-inisiatif untuk meningkatkan dayamaju sektor ini kebanyakannya diambil alih oleh Kerajaan Persekutuan. Umpamanya, menaiktaraf sistem pengairan dan saliran bagi kawasan MADA. Bagaimanapun, Kerajaan Negeri tetap memperuntukkan sebanyak RM24.7 juta bagi melaksanakan pembangunan pertanian melalui Jabatan Pertanian, Veterinar dan Jabatan Pengairan dan Saliran. Peruntukan ini adalah terlalu kecil jika dibandingkan dengan peruntukan yang telah dan akandisalurkan oleh Kerajaan Persekutuan, namun Kerajaan Negeripercaya ianya akan memberi manfaat yang besar kepada peningkatan pendapatan penduduk luar bandar. Peruntukan yang diberi ini adalah bagi melengkapi atau menampung sedikit sebanyak kemudahan yang tidak diperuntukkan oleh Kerajaan Persekutuan.

55. Bagi memperlengkapkan kemudahan infrastruktur pertanian di luar kawasan MADA, sebanyak RM14.79 juta diperuntukkan melalui Jabatan Pengairan dan Saliran. Peruntukan ini meliputi program pemulihan, pengindahan dan pemuliharaan sungai, program tebatan banjir, program pemulihan kerosakan akibat banjir, program peningkatan sistem pengairan dan saliran dan lain-lain program pembangunan bagi menyokong projek pembangunan yang disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan. Di kesempatan ini, saya mewakili seluruh rakyat Negeri Kedah mengucapkan setinggi penghargaan kepada pimpinan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri yang telah meluluskan projek menaiktaraf saliran air estet-estet MADA yang bernilai RM2.2 bilion untuk meningkatkan hasil pertanian.

Yang Berhormat Dato’ Paduka Speaker,

56. Kerajaan tetap meneruskan program pembangunan industri padi dengan memperuntukkan sebanyak RM2.5 juta untuk membantu meningkatkan hasil tanaman padi melalui perluasan Program Sawah Gemilang dan peningkatan kemudahan jalan ladang. Selain itu, Kerajaan Negeri juga komited dalam membantu pembangunan industri asas tani dan buah-buahan di mana sebanyak RM1.4 juta telah diperuntukkan bagi tujuan ini. Sebahagian besar daripada manfaat peruntukan ini akan dapat dinikmati oleh golongan petani tradisional.

57. Setiap tahun kita terpaksa mengimport beribu ternakan yang bernilai jutaan ringgit daripada luar negeri dan luar negara bagi menampung permintaan yang semakin meningkat. Bagi mengatasi masalah ini, sebanyak RM4.4 juta telah diperuntukkan kepada Jabatan Veterinar bagi melaksanakan pelbagai program pembangunan haiwan ternakan, pengeluaran bahan makanan dan industri ternakan ruminan.

PELANCONGAN DAN SUKAN

Yang Berhormat Dato’ Paduka Speaker,

58. Industri pelancongan merupakan salah satu kegiatan ekonomi yang memberi pulangan kepada pemandu teksi, restoran, pusat beli belah, industri perhotelan dan lain-lain lagi. Kerajaan Negeri juga bercadang menjadikan tahun 2016 sebagai Tahun Melawat Kedah sebagai menyusuli kepada Tahun Melawat Malaysia 2014 dan Tahun Festival 2015. Pada tahun lalu, Negeri Kedah telah menerima kunjungan lebih 3.5 juta pelancong. Sehubungan itu, bagi menyemarakkan lagi sektor pelancongan di Negeri Kedah, Bajet 2015 telah memperuntukkan sebanyak RM8 juta untuk mempersiap dan memperkemas pelbagai produk pelancongan negeri ke arah Tahun Melawat Kedah 2016. Kerjasama dengan Kementerian Pelancongan akan menguatkan lagi azam kita untuk menjadikan Negeri Kedah secara keseluruhannya dan tidak hanya Langkawi, sebagai destinasi pelancongan utama negara.

59. Sukan merupakan suatu arena yang mampu meningkatkan imej negeri. Justeru, Kerajaan memberi pengiktirafan terhadap kepentingan sukan di dalam mewujudkan satu masyarakat yang mampu bersaing di peringkat nasional dan antarabangsa. Bagi memajukan sukan dalam negeri dengan usaha untuk mempertingkatkan prestasi atlit-atlit dari peringkat akar umbi, kerajaan meneruskan pemberian tahunan kepada setiap Majlis Sukan Daerah di Negeri Kedah berjumlah RM1.2 juta. Selain itu, kerajaan juga memperuntukkan sebanyak RM6.6 juta bagi membangunkan kemudahan sukan di Negeri Kedah, yang meliputi projek menaiktaraf Kompleks Sukan Sultan Abdul Halim, Stadium Darulaman dan lain-lain kemudahan infrastruktur dan prasarana sukan. Bagi mengembalikan kegemilangan Negeri Kedah dalam arena sukan, sebanyak RM16.4 juta diperuntukkan bagi pelbagai program pembangunan sukan teras termasuk memperkasa peranan dan memastikan kelangsungan fungsi Majlis Sukan Negeri dan Perbadanan Stadium Negeri Kedah.

SOSIAL DAN ICT

Yang Berhormat Dato’ Paduka Speaker,

60. Bajet 2015 juga tidak melupakan tumpuan kepada program pembangunan sosial yang akan memberi impak terus kepada golongan sasaran. Dalam tahun 2014, Kerajaan Negeri melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri telah mengaktifkan kembali peranan “focus group”, dengan izin, di setiap pejabat daerah untuk memperkasa program pembasmian kemiskinan negeri supaya tiada rakyat miskin yang tercicir daripada menerima manfaat yang telah diatur. Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM21.5 juta bagi meneruskan pelbagai projek pembangunan sosial termasuk program pembasmian kemiskinan, projek kecil kemajuan luar bandar serta menaiktaraf projek-projek perumahan rakyat melalui fungsi pelbagai jabatan negeri.

61. Pada 01 Mei 2014, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah mengumumkan cadangan pembinaan 960 unit rumah Penjawat Awam 1 Malaysia di Bukit Pinang, Daerah Kota Setar. Selaras dengan objektif pelaksanaan projek PPA1M ini untuk membantu penjawat awam yang berpendapatan rendah dan sederhana memiliki kediaman yang mampu dimiliki, selesa dan berkualiti, Kerajaan Negeri akan memulakan projek ini pada tahun 2015 dengan peruntukan fasa pertama sebanyak RM6 juta. Jumlah itu adalah bagi penyediaan tapak dan kemudahan jalan yang menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri.

62. Kerajaan sedar sejak kebelakangan ini banyak indikator yang menunjukkan keadaan ekonomi yang tidak menentu seperti kenaikan kos sara hidup yang bertambah buruk dengankejatuhan harga komoditi getah. Menyedari hakikat berkenaan, kerajaan turut merasai kesusahan yang dialami rakyat negeri ini khususnya golongan berpendapatan rendah. Oleh itu kerajaan dengan penuh rasa tanggungjawab menyediakan bantuan sewa rumah kepada mereka yang layak. Bantuan ini adalah terhad kepada golongan miskin tegar luar bandar kerana peruntukan yang disediakan tidaklah begitu besar angkanya. Namun sekiranya Kerajaan Negeri dapat melepaskan tanggungan ke atas Kolej Universiti Insaniah yang berjumlah RM57 juta setahun, dengan izin Allah S.W.T., kita akan menambah lebih banyak peruntukan untuk tujuan ini.

63. Kepentingan komuniti minoriti di Negeri Kedah juga tidak diabaikan. Kerajaan Negeri telah menubuhkan portfolio perhubungan kaum dan menyediakan peruntukan untuk aktiviti-aktiviti sosio-budaya komuniti Cina, India dan Siam. Kebelakangan ini kita melihat banyak acara-acara kebudayaan satu-satu kaum melibatkan kaum-kaum lain. Aktiviti-aktiviti seperti ini perlu digalakkan lagi. Oleh itu, Kerajaan akan terus menyumbang kepada penajaan acara-acara tersebut.

64. Pada tahun 2014, Kerajaan telah membina Pusat Pemulihan Bencana Negeri (State Disaster Recovery Centre) di Pejabat Daerah Kubang Pasu, bernilai RM1.6 juta. Bagi tahun 2015, kerajaan meneruskan program pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi dengan peruntukan berjumlah RM4.0 juta bagi menyediakan prasarana E-Kerajaan, projek mengurangkan jurang digital dan aplikasi E-Kerajaan melalui peranan dan fungsi Pusat Teknologi Maklumat Negeri Kedah dan pelbagai jabatan negeri.

PENTADBIRAN DAN LAIN-LAIN

Yang Berhormat Dato’ Paduka Speaker,

65. Kerajaan peka kepada aduan dan cadangan daripada semua pihak. Samada ianya datang dari seorang petani kecil atau seorang ketua eksekutif syarikat gergasi, Kerajaan Negeri sentiasa mendengar dan mengambil maklum setiap perkara yang dibawa kepengetahuan. Kerajaan juga mahu tindakan segera diambil, terutama sekali jika ianya melibatkan kebajikan rakyat dan perihal kemajuan ekonomi rakyat. Maka, dengan sukacitanya, saya ingin mengumumkan penubuhan Majlis Ekonomi Negeri (State Economic Council) bagi mempercepatkan sesuatu keputusan atau proses kelulusan. Majlis ini akan dianggotai oleh ahli-ahli tetap yang akan membuat keputusan segera tanpa perlu terikat dengan kerenah birokrasi. Kerajaan Negeri percaya, dengan penubuhan Majlis Ekonomi Negeri ini, pertumbuhan ekonomi Negeri dapat dirancakkan pada kadar yang maksimum.

66. Dalam usaha untuk memperkasa sistem penyampaian perkhidmatam awam, sebanyak RM16.8 juta diperuntukkan bagi pembelian aset pelbagai jabatan negeri bagi memastikan kelangsungan fungsi setiap jabatan dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat. Bagi tahun 2015, sejumlah RM242 juta disediakan bagi menampung pembayaran emolumen untuk seluruh penjawat awam negeri termasuk kenaikan gaji dan lain-lain bayaran tahunan mengikut dasar yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan. Manakala bagi menampung pelbagai kos perkhidmatan dan bekalan, KerajaanNegeri telah memperuntukkan sebanyak RM157 juta berbanding RM132 juta bagi tahun 2014 berikutan kenaikan kos utiliti.

67. Pada ucapan bajet yang lalu, saya telah mengumumkan penghapusan bayaran lesen penjaja bermula Januari 2014. Sehubungan itu, Bajet 2015 memperuntukkan pemberian bantuan kekurangan hasil kepada semua Pihak Berkuasa Tempatan Negeri (PBT) berjumlah RM5 juta kerana telah kehilangan punca hasil daripada bayaran lesen penjaja bagi tahun 2014. Kerajaan Negeri juga telah bersetuju untuk menyambung kembali Caruman Membantu Kadar Hartanah Kerajaan Negeri kepada semua PBT berjumlah RM724 ribu. Sejumlah RM3 juta pula disediakan bagi melaksanakan projek naiktaraf dan membina ruang niaga di kawasan-kawasan PBT terpilih. Dengan peruntukan ini, Kerajaan berharap semua PBT dapat terus memperkasakan sistem penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat setempat.

Yang Berhormat Dato’ Paduka Speaker,

68. Tahun 2014 telah menyaksikan pelbagai pencapaian yang berjaya dicatat oleh pelbagai jabatan negeri. Sebanyak 11 jabatan dan agensi Negeri Kedah telah mencapai pengiktirafan empat bintang, iaitu tahap sangat baik di dalam Pengauditan Indeks Akauntabiliti dalam pengurusan kewangan tahun 2013 olehJabatan Audit Negara. Jabatan dan agensi yang terlibat adalah Majlis Agama Islam Negeri Kedah, Pejabat Perbendaharaan Negeri Kedah, Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Pejabat Tanah Daerah Kuala Muda, Majlis Bandaraya Alor Setar, Pejabat Tanah Daerah Kulim, Pejabat Daerah dan Tanah Yan, Majlis Perbandaran Kulim, Jabatan Perhutanan Negeri Kedah dan Pejabat Daerah Kota Setar.

69. Pihak MAMPU pula telah memberikan penarafan lima bintang iaitu sangat baik kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dalam penilaian Star Rating tahun 2013 bagi menggredkan tahap prestasi peningkatan sistem penyampaian perkhidmatan.

70. Selain itu, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian juga telah melaksanakan program penilaian penarafan bintang agensi sektor awam bagi enam pejabat tanah yang terpilih. Bagi tahun 2012, Pejabat Tanah Daerah Kulim telah mencapai lima bintang (sangat baik) dan Pejabat Daerah dan Tanah Sik pula telah berjaya mencapai penarafan empat bintang (baik).

71. Dengan adanya anugerah-anugerah seperti ini, Kerajaan berharap ianya dapat menggalakkan persaingan yang sihat di kalangan Agensi Sektor Awam dalam mengamalkan pengurusan organisasi dan penyampaian perkhidmatan yang lebih berkesan.

72. Sepertimana yang diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Kerajaan Negeri juga dengan ini mengisytiharkan pemberian bonus setengah bulan gaji kepada penjawat awam dengan bayaran minimum RM500 dengan harapan sedikit sebanyak ianya dapat meringankan beban kenaikan kos sara hidup dan menjaga kebajikan para penjawat awam Negeri Kedah, terutamanya kepada keluarga untuk persediaan musim awal persekolahan tahun 2015.

Yang Berhormat Dato’ Paduka Speaker dan Ahli-AhliYang Berhormat sekalian,

73. Tanggungjawab yang kita pikul sebagai Ahli di Dewan Yang Mulia ini untuk membincangkan bajet adalah merupakan ibadah fardu kifayah. Kita harus tumpukan sepenuh perhatian kita dan lakukan segala tindakan serta membuat keputusan demi kepentingan rakyat yang kita wakili. Marilah kita menghayati satu hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar RardhiAllah Anhu, katanya:

Baginda Rasullullah S.A.W pernah bersabda:

“ Kamu semua adalah pemimpin dan kamu semua akan bertanggungjawab terhadap apa yang kamu pimpin. Seorang pemerintah adalah pemimpin manusia dan diaakan bertanggungjawab terhadap rakyatnya. Seorang suami adalah pemimpin bagi ahli keluarganya dan dia akan bertanggungjawab terhadap mereka. Manakala seorang isteri adalah pemimpin rumah tangga, suami dan anak-anaknya, dia akan bertanggungjawab terhadap mereka. Seorang hamba adalah penjaga harta tuannya dan dia juga akan bertanggungjawab terhadap jagaannya. Ingatlah, kamu semua adalah pemimpin dan akan bertanggungjawab terhadap apa yang kamu pimpin. ”

[Bukhari & Muslim]

74. Natijahnya, apa yang telah direncana dan akan dilaksanakan pada tahun hadapan merupakan visi bagi memenuhi aspirasi dan kehendak rakyat. Rakyat telah memberi mandat kepada Kerajaan Barisan Nasional untuk terus memimpin dan kita mahu pastikan agenda pembangunan dapat terus diperkasakan dan sekaligus meningkatkan lagi taraf dan kualiti kehidupan rakyat Negeri Kedah keseluruhannya.

75. Saya percaya dengan kekuatan barisan kepimpinan serta tenaga kerja yang ada sekarang, kita mampu melangkah lebih jauh, sekaligus membawa negeri ini ke tingkat yang lebih tinggi dari yang sedia ada.

76. Pepatah Melayu ada mengatakan :

“ Enak lauk dikunyah-kunyah, enak kata diulang-ulang”

77. Oleh itu, sekali lagi saya ingin mengajak semua yang berada di Dewan Yang Mulia ini untuk sama-sama bergandingan dalam memacu kemajuan Negeri Kedah demi kemakmuran rakyat.

78. Akhir kalam, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan kepada semua rakyat Negeri Kedah atas kepercayaan dan sokongan serta sumbangan yang diberikan kepada Kerajaan Barisan Nasional untuk terus menerajui Negeri Kedah. Saya juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua anggota perkhidmatan awam, GLC, anggota-anggota keselamatan dan individu-individu yang telah berkhidmat dengan gigih dan penuh bertanggungjawab untuk menjamin kestabilan, keamanan, kemajuan dan kemakmuran negeri secara berterusan.

79. Yang Berhormat Dato’ Paduka Speaker, sekian sahaja pembentangan Bajet Negeri Kedah Darul Aman bagi tahun 2015. Saya mohon mencadangkan.

Draf Ucapan Penuh YAB Menteri Besar Kedah
Dato Seri Hj Mukhriz Tun Mahathir

BUAT GURU-GURU KU

Sajak Hari Guru


Abadi Dalam Harum Nama

Guru pendidik mulia
sudah berabad lalu
bermandi keringat
meniti gigi hari
mendaki puncak tinggi
di merata lurah dan denai
menabur bakti
tanpa mau dipeduli.

Guru pendidik mulia
bukan untuk dipuja
atau di dewa-dewa
siang dan malarnnya
adalah perjuangan jua
rela meluah bahagia
menelan duka nestapa
dengan senyum dan takwa
biarpun sayup di hutan belantara.

Guru pendidik mulia
laksana kuntum kembang mekar
memuncak nama pembela sejahtera
abadi dalam harum nama.

Ismala
1988

Bunga Sirih untuk Guru

Guru adalah Ibu pengasuh budiman
guru adalah ratu lebah
lalu memujuk membelai kelopak
cinta kasih sayang
lilinnya berbunga sinar cahaya
madunya berbunga penawar jiwa.

Guru adalah penyu pengasih
lalu menabur bunga telur
baktinya segar mewangi
sepanjang pantal zaman.

Guru adalah lampu penyuluh
pedoman kehidupan
guru adalah pendakwah
lalu mengikut jejak Nabi Muhammad
memimpin insan
ke jalan lurus ke padang luas.

Bunga sirih bunga pirtang
terima kasih terima savang
budi bicara guru berjasa
kami sanjung tinggi.

J.M. Aziz
Rumah Puisi
Seberang Takir
Kuala Terengganu

Dia Seorang Guru

Dia seorang guru tua sebuah sekolab
terdidik dalam negeri tanpa berjela ijazah
penunggu setia sekolah desa bukan cuma ganiaran upah
tidak juga mengharap kemilau gelar dan anugerah
sekadar kerelaannya menggenggam suatu amanah

yang mengangkat harga diri dan maruah
dengan berbekalkan keyakinan dan hikmah
dengan kelkhlasan had dan pasrah
dengan tidak mengenal jemu dan penat-lelah
yang diperkirakan kepuasan diri membangun ummah
berlandas paksi yang jelas dalam tuju-arah.
Dia seorang guru pengganti ayah ibu
dia seorang guru pembentuk generasi baru
dia seorang guru pembina insan sepadu
dia seorang guru pewaris tamadun ilmu
yang terus hidup sepanjang waktu
diimbau berbunyi dilihat bertemu.

Ismail Haji Adnan
1989

Guruku

Seperti lilin
sewaktu waktu akan cair
gugur lalu membeku
sepi pun datang menutup pandang
tinggallah waktu
mengakhiri seJarah panjangnya.

Seperti engkau
sewaktu waktu penyuluh hidupku
betapa dalam kegelapan maya
engkau perkenalkan daku dengannya
suria dan bintang cakerawala
sehingga seluruh jagatraya ini
tiba-tiba menjadi milikku.

Kehadiranmu adalah suatu fitrah
lepas itu, engkau kutinggalkan
kukira engkau kesepian kini
mengakhiri sisa-sisa hidupmu
tanpa belaian kasih
ratusan anak-anakmu
yang telah engkau berikan obor.

Dan pagi ini kudakap wajahmu dalam kenangan
seorang anak yang pernah engkau lukai
kini pencintamu paling setia
sehingga ke akhir hayat.

Zam Ismail
Seremban
1985

Jasamu Dikenang

Segala bakti yang engkau curahkan
mengajar mendidik anak bangsa
segala jasa yang engkau taburkan
menjadi kenangan tak akan kami lupakan.

Engkau laksana pelita di malam gelita
memancarkan sinar sepenuh rela
jiwamu tabah hatimu cekal
kasihmu sud semangatmu berkobar
yang tak pernah mengenal erti putus asa
yang tak pernah meminta puji dan puja.

Jasamu tak akan luput dalam ingatan kami
sepanjang hayat mekar di sudut had
tiap sepatah katamu mengisi erti
tiap madahmu mengandungi hikmat
pembentuk peribadi penegak kebenaran
pengatur hidup petunjuk kebahagiaan.

Hanya kata-kata ini yang dapat kami lafazkan
terkumpul dari seribu hati menjadi satu
menadah tangan dengan doa restu
kepada Tuhan yang menjanjikan pembalasan
kepadamu guru-guru yang berjiwa mulia
pembimbing petunjuk ke arah maju jaya.

Jujur dan ikhlas engkau berbakti
di kota dan desa atau di huj'ung negeri
cekal dan tabah menempuh dugaan
hidupmu bagalkan pelita di tengah malam
membakar diri menerangi yang kelam
jasamu akan karra kenang sepanjang zaman.

Ahmad Sarju
Klang
1988

Pelita Sebuah

Dengan sinar cahaya
di malam gelita
kelip-kelip warnanya
menerangi kamar alam
sekian lama malam
merantai kegelapan
akhlrnya kukenal siang
berwajah suram
alangkah indahnya cluma
kuhhat di dalam terang.

Pelita sebuah
membawa cahaya ilmu
hutan menjadi terang
gua malam
bercahaya api
lautan menjadi tenang
gelombang clan karang
dapat direnang
kujelajahl malam
tanpa bimbang.

Ami Masra
UPM Serdang
1988

Guru oh Guru

Berburu ke padang datar,
Dapat rusa belang kaki;
Berguru kepalang ajar,
Ibarat bunga kembang tak jadi.

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum menjadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetlaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di lbu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakill seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulang ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

Usman Awang
1979

Ahad, 9 November 2014

Bisik Awang Selamat

ANALISIS MINGGUAN : BISIK-BISIK AWANG SELAMAT
09 November 2014 1:21 AM

Adnan Yaakob
Hebat sangatkah Adnan?

Sesiapa yang mendokong kuat integriti, tidak akan melatah dan emosional terhadap pendedahan media. Sebab itu Awang hairan mengapa menteri besar Pahang, Adnan Yaakob mahu menghina dan memperlekehkan Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia berhubung isu Cameron Highlands.
Beliau ternyata marah dengan laporan khas Utusan tentang kebanjiran 30,000 warga asing terutama Bangladesh di daerah tersebut.

Seperti biasa, Adnan mengaitkannya dengan agenda media untuk menjatuhkan pemimpin selain mahu melariskan akhbar bagi mengelakkan syarikat akhbar rugi dan tutup. Inilah antara cabaran media dalam memperjuangkan integriti – penyakit pemimpin politik.
Awang seperti tidak percaya ada pemimpin bertaraf menteri besar yang berfikir seperti itu. Inilah masalahnya kalau sudah lama sangat sandang jawatan dan terleka dalam zon selesa sehingga takut dengan bayang-bayang sendiri. Ulat pun disangka ular. Beliau sepatutnya belajar dengan menteri besar lain yang mengambil positif dan menjadikan laporan media sebagai peluang untuk menangani sesuatu isu dengan lebih berkesan. Ada laporan lebih panas melibatkan negeri lain tetapi menteri besarnya tidak melatah.

Agenda media dalam isu di Cameron Highlands adalah untuk keselamatan negara dan dan rakyat, tidak lebih daripada itu. Tiada sebarang agenda lain. Apakah kerana Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia mahu mengutamakan agenda ini, akhbar tersebut menjadi mangsa dan sasaran tohmahan Adnan?
Bukan kali pertama, Adnan rakus menuding jari terhadap media. Awang selalu mendapat maklum balas termasuk daripada wartawan banyak organisasi media tentang cara beliau yang kelihatan angkuh. Tidak boleh menerima teguran – mudah melenting.

Memandangkan keangkuhannya, Awang bagi pihak Utusan ada hak untuk menyanggah beliau. Menggunakan kuasa politik untuk membuli media, tidak boleh dibiarkan.
Di Pahang, pelbagai pihak termasuk media lebih senang berurusan dengan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah dan Tengku Mahkota, Tengku Abdullah yang lebih tahu menghormati dan menjaga aib orang lain. Benar-benar berjiwa rakyat. Bukan itu sahaja baginda berdua bersikap budiman, terbuka dan bijak mengurus kritikan.

Sayangnya, ia tidak terzahir kepada menteri besar. Persoalannya hebat sangatkah Adnan sehingga kerap kali menghina dan tidak menjaga adab tutur kata sebagai seorang pemimpin?
Rakyat Pahang boleh menilai. Walaupun Adnan berjasa kepada negeri itu tetapi ramai merasakan Pahang tidaklah sehebat mana di bawah pentadbirannya sejak 1999. Tiada faktor 'wow' yang boleh menjadi kebanggaan negeri. Isu kelemahan dan kepincangan tertentu di bawah pentadbiran beliau, juga jadi bahan bualan. Ingatlah kebanyakan kita ada pekung. Mengata orang tetapi gagal cermin prestasi sendiri. Lihatlah kes penerokaan haram di hutan simpan dan tanah kerajaan di Cameron Highlands (dan banyak lagi daerah) yang sudah lama berlarutan, yang kerap mengakibatkan banjir tetapi apa yang Adnan buat selain asyik memberi alasan.

Gaya kepimpinannya juga tidak lagi sesuai meskipun bagi penyokong Adnan, beliau masih diperlukan atas hujah karismanya yang mampu mengawal politik Pahang yang unik. Lain pula di akar umbi, yang mahukan perubahan kepimpinan. Negeri lain sudah berubah menteri besar, Pahang masih orang sama yang rating dan popularitinya jatuh. Desas-desus menteri besar bakal diganti sudah lama berlegar. Walaupun Adnan tentu tidak senang dengan hal tersebut tetapi Awang yakin beliau bukanlah jenis yang tidak boleh menerima realiti.

Lagipun Adnan pasti sudah puas duduk di kerusi menteri besar. Sebagai pemimpin politik, sesiapa pun termasuk beliau seharusnya boleh menerima sebarang kemungkinan naik, turun dalam karier politik kerana ia lumrah. Sebagai pemimpin yang bijaksana, beliau sepatutnya sudah boleh membaca dan memahami isyarat termasuk implikasi kepada politik negeri jika tiada perubahan menteri besar. Jangan biar diri menjadi liabiliti kepada parti dan negeri. Walaupun khabarnya, Adnan dikatakan bergantung kepada Sultan Pahang untuk survival politiknya namun dalam soal menjaga kepentingan rakyat Pahang, baginda akan mengambil pendirian terbaik.  Lagipun yang akan mengundi atas nama demokrasi pada pilihan raya nanti ialah rakyat.

Pada pilihan raya umum lepas, faktor Perdana Menteri, Mohd. Najib Tun Razak memainkan peranan besar kepada kejayaan Barisan Nasional (BN) di negeri itu. Rakyat Pahang lebih menghargai Najib, yang merupakan Ahli Parlimen Pekan. Tanpa mahu menafikan peranan dan kerja keras Adnan, ramai berpendapat Pahang boleh menang lebih besar jika beliau umumkan berundur selepas PRU-13. Setakat ini, tiada tanda Adnan mahu bersara secara sukarela, seolah-olah tiada pemimpin lain di Pahang yang layak. Maka eloklah Awang peringatkan ungkapan bahasa Inggeris, Don't overstay your welcome, yang beliau lebih arif maksudnya.

Buli dan KPI

Paparan dua video perbuatan buli di asrama pelajar baru-baru ini mencetuskan perhatian besar dengan orang ramai rata-rata marah. Satu kejadian melibatkan sebuah sekolah di Pontian, Johor pada 2010 tetapi klip video mengenainya disebarkan minggu ini. Jika diamati klip video tersebut, ia boleh dirumuskan sebagai ganas dan tidak berperikemanusiaan. Awang geram sungguh terutama terhadap pelajar yang berbaju lengen pendek hitam yang membelasah pelajar junior tanpa belas ihsan. Kalau di banyak negara terutama di Barat kes seperti itu akan dibongkar semula atas nama kepentingan umum dan bagi memberi mesej jelas kepada semua.

Satu lagi kejadian mengejutkan Awang kerana berlaku di sebuah asrama anak-anak yatim di Perlis. Tempat yang sepatutnya lebih memupuk kasih sayang menjadi sarang buli.  Lima daripada enam pelajar yang  menyerang seorang pelajar junior telah dihadapkan ke mahkamah juvana selepas pendedahan tersebut. Apa yang membimbangkan Awang, berapa banyak lagi kes buli kategori serius seperti itu, yang kita semua tidak tahu? Difahamkan, bagi setiap satu kes yang dilaporkan kepada pihak polis dan pihak sekolah, sekurang-kurangnya tiga lagi kes yang tidak dilaporkan.

Dalam kes buli, pihak yang perlu juga dipertanggungjawabkan ialah pengetua dan warden asrama. Awang mendapat banyak maklum balas, warden dan guru bertanggungjawab bukan sahaja tidak proaktif malah jarang meronda dan buat lawatan mengejut. Mereka lebih banyak habiskan masa menonton televisyen dan melayari Internet.

Sepatutnya pihak asrama mengambil pendekatan pencegahan dan dari awal boleh menghidu para pelajar yang ganas dan berakhlak buruk untuk lebih pengawasan.Maka pihak asrama khususnya warden tidak boleh dibiar lepas tangan. Mereka juga harus disiasat dan jika perlu dikenakan tindakan termasuk dipecat serta didakwa atas kecuaian. Selain itu, perlu ada KPI untuk sekolah, asrama dan warden bagi membendung kejadian buli. Percayalah, negara akan menyaksikan penurunan mendadak kes-kes buli, selepas itu.

Humor Zainal

Sehari selepas kejayaan pasukan bola sepak Pahang menewaskan Johor Darul Takzim dalam perlawanan final bagi muncul juara Piala Malaysia, Ketua Jurulatih Pahang,  Zainal Abidin diwawancara oleh stesen radio Sinar.  
Dalam perbualan ringkas itu, beliau melahirkan kesyukuran dan berterima kasih kepada pengurusan, seluruh pemain, pegawai dan para penyokong.  Ketika ditanya apakah saat paling mendebarkan dan menakutkan, Zainal tidak menjawab pasal perlawanan tersebut. Sebaliknya beliau respons secara humor: "Apabila isteri bertanya, nombor telefon siapa tu..?" Ia disambut dengan sorakan para penyampai. Selalunya para penyampai yang mengenakan tetamu sehingga suasana gamat dengan gelak ketawa tetapi pada pagi itu, Zainal menjadi pencetusnya – jauh beza dengan wajahnya yang serius sepanjang final.   Awang senyum  dan suka dengan jawapannya itu. Memang pertanyaan isteri seperti itulah yang selalu meresahkan  para suami berbanding drama dan keputusan bola sepak. Maklumlah bagi sebahagian isteri, ada 'misteri' dalam telefon suami mereka yang sentiasa mahu dibongkar.

artikel berkaitan
ANALISIS MINGGUAN : BISIK-BISIK AWANG SELAMAT
Kuala Lumpur