KUALA LUMPUR – Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan adalah merupakan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan oleh Mazlan Aliman yang dianggotai oleh segelintir anak-anak peneroka Felda yang berhaluan kiri.
Selain berdemontrasi yang mengakibatkan kesesakan jalan dan memburuk-burukkan pengurusan Felda, Mazlan Aliman dan anak-anak buahnya dikatakan sering keluar masuk Felda berusaha menghasut golongan peneroka untuk menyokong perjuangan mereka.
Menurut Mazlan, ANAK memperjuangkan kepentingan para peneroka Felda dan masa depan syarikat perladangan terbesar di dunia itu.
Terbaru, Mazlan menampilkan ‘pakar ekonomi’ ANAK, Dr. Rosli Yaakop menyatakan bahawa kononnya Felda akan mengalami defisit pendapatan kira-kira RM1.5 bilion sekiranya Felda memajakkan tanah kepada Felda Global Ventures Holding (FGVH) dalam usaha penyenaraian syarikat itu di Bursa Malaysia.
Hujah tersebut dibuat berpandukan kepada fakta perbelanjaan Felda pada tahun 2010 yang dikatakan mencecah RM2 bilion, sebaliknya hanya berpendapatan sebanyak RM251 juta dari pajakan tanah dan RM257 juta dari hasil keuntungan penjualan kelapa sawit segar.
“Kalau pendapatan kurang, tetapi perbelanjaan tinggi, kita mengalami defisit pendapatan.
“Felda nak ambil mana duit (yang selebihnya)… Felda tak mampu. Ini akan merugikan Felda dan rakyat akan menanggungnya.
“Sebab itu ia salah satu sebab mengapa kita menentang penyenaraian ini,” kata Dr. Rosli yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan yang dipetik dari Malaysiakini, hari ini.
Kenyataan Dr. Rosli itu dijadikan Mazlan untuk mengapi-apikan bantahan terhadap penyenaraian FGVH di Bursa Malaysia dan menyifatkannya sebagai ‘berat sebelah’ serta tidak memihak kepada golongan peneroka mahupun Lembaga Felda.
“Segala urusniaga akan ditandatangani oleh Felda Global Venture. Apa keistimewaan FGV sehingga mendapat kenikmatan aman sentosa.
“Macam tu sekali tingginya martabat Felda Global Venture,” katanya.
Tidakkah Dr. Rosli tahu bahawa Felda sebelum ini telah membelanjakan sebanyak RM500 juta semata-mata untuk pembangunan sosial para peneroka, manakala sebanyak RM1.5 bilion pula digunakan untuk kos pengoperasian.
Selepas FGVH disenaraikan di Bursa Malaysia, dengan pegangan nilai pasaran yang dianggarkan sebanyak RM6 bilion oleh pakar-pakar ekonomi, para peneroka bakal menikmati pulangan yang lebih banyak berbanding sekarang dengan nilai pegangan saham dianggarkan sebanyak RM1.8 bilion.
Yang manakah lebih menguntungkan sama ada menerima peruntukan tahunan sebanyak RM500 juta atau pegangan nilai pasaran sebanyak RM1.8 bilion yang dijangka akan berkembang nilainya?
Pada pandangan penulis, Mazlan dan Dr. Rosli perlu periksa dahulu kesahihan fakta yang mereka peroleh dari sumber mereka itu sebelum membuat kenyataan yang mampu memalukan diri serta mengelirukan rakyat.
Dr. Rosli menyatakan bahawa Felda akan memperoleh sekitar RM251 juta dari hasil pajakan dan RM257 dari hasil jualan buah kelapa sawit yang menjadikan jumlah besarnya ialah RM508 juta.
‘Pakar ekonomi’ jenis apakah yang menafsirkan keuntungan Felda berdasarkan jumlah tersebut sedangkan Felda sebenarnya akan meluaskan perniagaannya dan tidak hanya bergantung kepada perladangan kelapa sawit serta pajakan tanah saja?
Tidakkah ‘pakar ekonomi’ itu sedar bahawa Felda akan berevolusi melalui FGVH dengan mencari peluang-peluang strategik baru di luar negara yang dijangka bakal memulangkan hasil yang lebih banyak berbanding di dalam negara?
Tentunya ‘pakar ekonomi’ politik Pas itu tidak menyedari bahawa FGVH memiliki sebuah pusat penapisan minyak canola dan soya di Kanada sehingga menyempitkan ruang prospek keuntungan syarikat itu kepada kelapa sawit sahaja.
Itu belum lagi diceritakan tentang usahasama strategik FGVH dengan syarikat-syarikat terkemuka dunia lain termasuk firma pengeluar produk pertanian terbesar di Benua Amerika, Bunge Ltd.
‘Pakar ekonomi’ itu tahu atau pernah dengar nama Bunge Ltd?
Justeru itu, sekiranya tidak tahu atau tidak mengkaji fakta, usahlah bersusah payah membuat sidang media yang akhirnya akan menyebabkan kreadibiliti seorang ‘pakar’ yang bergelar doktor tercemar.
Seperkara yang perlu Mazlan tahu dan lekatkan di dalam akalnya ialah Koperasi Permodalan Felda (KPF) yang mewakili para peneroka Felda akan memegang saham sebanyak 61 peratus pada peringkat awal pra-penyenaraian di Bursa Malaysia.
Secara matematik mudah, antara 61 peratus dan 39 peratus, siapakah pemegang saham yang paling banyak di dalam FGVH dan akan menikmati keuntungan yang lebih nanti?
Jadi, di mana asasnya dakwaan Mazlan yang kononnya FGVH mendapat kuasa besar dalam menentukan arah kemajuan Felda selepas penyenaraiannya di Bursa Malaysia?
Penulis telah bertemu ramai peneroka di beberapa gugusan Felda yang juga merupakan ahli KPF yang sah dan menyatakan sokongan penuh mereka terhadap penyenaraian FGVH tersebut, selain mereka dijamin oleh ‘borang merah jambu’ dari kerajaan.
Jadi, sekiranya Mazlan sedar diri bahawa dia hanyalah ‘anak peneroka’ yang jelas bukan peneroka sebenar, malah bukan pun ahli KPF yang sah, mengapa dia perlu bertindak ‘lebih kuah dari sudu’?
Tidakkah Mazlan sedar dengar insiden dia dan anak-anak buahnya dihalau oleh sebilangan penduduk Felda dari memasuki kawasan tanah rancangan mereka membayangkan bahawa ANAK dibenci sama sekali oleh golongan peneroka?
Mazlan patut sedar bahawa kejayaannya menghasut sebahagian kecil warga Felda Sungai Tengi hanya mewakili 20 peratus dari jumlah sebenar warga Felda berkenaan.
Lagi 80 peratus memang menolak ANAK seratus peratus dan itu baru hanya di Felda Sungai Tengi.
Belum lagi disebut tentang puluhan Felda lain di beberapa buah negeri lain yang menyampah mendengar nama Mazlan Aliman dan ANAK.
Pada penulis yang mengikuti perkembangan dan membuat kajian dari peringkat asas peneroka yang sah di Felda-Felda, tidak usahlah Mazlan bersusah payah menghabiskan masa dengan menghasut dan menakut-nakutkan para peneroka lagi.
Tindakan itu hanya akan menimbulkan lebih banyak kemarahan warga peneroka Felda terhadap diri Mazlan sendiri, khususnya PAS, parti politik yang menjadi tempatnya berselindung di sebalik isu Felda itu.
Kalau terlalu kemaruk ingin menjadi calon Pilihanraya Umum pun, tak payahlah memalukan PAS di kalangan warga Felda kerana mereka memang tahu Mazlan punya agenda tersembunyi di sebalik ‘suara’ ANAK.
Para peneroka hidup ‘makan garam’ lebih awal berbanding Mazlan dan lebih berpengalaman untuk menilai sikap orang luar yang mahu meracuni pemikiran masyarakat Felda dengan dakyah politik murahan sebegitu. – Mynewshub.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan