January 27, 2012
Oleh: Iskandar Zulfi
Setelah dibebaskan dari kes liwat, nama Anwar di dalam negara semakin hari semakin tenggelam. Namanya di barat pula, semakin hari semakin buruk kerana tidak lagi relevan bagi strategi mereka.
Satu-satunya tempat di mana namanya semakin menjulang tinggi adalah di dalam lingkungan LGBT. Ini terbukti apabila hampir semua laman-laman web LGBT di seluruh dunia memberi ‘liputan’ positif tanda kemenangan golongan itu apabila Anwar dibebaskan.
Di dalam Pakatan Rakyat sendiri, nama Anwar dianggap sebagai liabiliti. Kita sudah lama tahu bahawa terdapat beberapa pihak di dalam PAS yang enggan duduk bersama Anwar dalam majlis-majlis PR. Ini akhirnya diakui sendiri oleh Datuk Dr. Hassan Ali setelah dipecat dari PAS. Namun, kerana kuasa dan keghairahan berpolitik, majoriti mereka memilih untuk terus menjunjung Anwar sebagai ketua agar dapat sampai ke Putrajaya.
Bimbang namanya terus tenggelam, Anwar perlu bangkit menyatakan kehadirannya di dalam arena politik Malaysia. Tanpa kes liwat dan isu konspirasi, Anwar tidak punya peluang untuk menonjolkan diri. Silap tonjol, terkena pula batang hidung sendiri sepertimana yang berlaku dalam wawancara dengan BBC.
Kerana itu, timbullah isu debat Anwar-Najib ini. Merdeka Center dan kumpulan yang kononnya mewakili professional Melayu pun memukul canang konon rakyat bersetuju kedua-dua pemimpin ini berdebat.
Entah professional Melayu yang bagaimana yang benar-benar tidak ada kerja dan ingin benar mendengar debat yang tidak akan membawa ke mana.
Ini kerana golongan professional Melayu yang penulis kenal langsung tidak ambil tahu perihal Anwar kerana terlalu sibuk dengan kerja. Yang mereka tahu, ialah Najib juga perlu bekerja dan bukannya berdebat atau melayan manusia yang teraniaya pun tidak, dipenjara pun tidak, berjasa pun tidak, tetapi ke hulu ke hilir bercakap kosong bagai orang gila.
Jika ingin sangat berdebat, Anwar boleh berdebat di parlimen. Jika ingin bersuara, Anwar boleh bersuara di dalam ceramah, Suara Keadilan, Harakah, Malaysiakini, Malaysian Insider, Youtube, Facebook, Twitter, Blog, Laman Web malah BBC dan Sinar Harian hatta laman web rasmi LGBT juga. Tidak cukup dengan itu, Anwar boleh mengedar Buku Jingga, hijau, biru, atau pelangi iaitu warna rasmi LGBT jika perlu.
Apa guna mencabar Najib berdebat secara terbuka lagi jika semua idea, angka dan fakta sudah boleh dibentang, dibaca, didengar, dianalisa dan dikaji sendiri oleh rakyat melalui semua media itu?
Atau Anwar sekadar ingin beradu siapa paling pandai bercakap? Jika ini tujuannya, maka kita sudah tahu yang Anwar akan menang kerana hanya itulah kerja Anwar sejak dahulu sehingga sekarang, iaitu bercakap.
Malangnya, rakyat tidak memerlukan pemimpin yang pandai bercakap. Rakyat perlukan pemimpin yang pandai bekerja. Dan kata orang, orang yang terlalu bijak bercakap selalunya tidak pandai bekerja.
Justeru, kepada Anwar, kita sarankan simpanlah air liur itu kerana ia sudah tidak laku lagi. Kalau terdesak benar inginkan publisiti, sekurang-kurangnya janganlah memperbodohkan diri. Orang tahu siapa di belakang Merdeka Center dan orang tidak tahu siapa pula professional Melayu yang suka mendengar debat itu.
Najib ada kerja untuk dibuat, janganlah mengganggu macam budak-budak tak ada kerja dan tak cukup akal. Pergilah buat kerja sendiri – secara professional, berdasarkan tanggungjawab masing-masing.
Lagipun, bukankah lebih elok bagi Anwar mengambil peluang kebebasan ini untuk menghabiskan masa berkualiti dengan keluarga, mengerjakan umrah tanda kesyukuran, bercuti panjang dan merebut kembali masa yang telah hilang?
Bawa-bawalah bertenang untuk beradu kekuatan dengan Najib melalui pilihanraya akan datang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan